Peminat Salman Khan bakar mercun dalam panggung wayang

SELEPAS insiden peminat bakar mercun dalam panggung wayang ketika filem Jawan ditayangkan pada Oktober lalu, kini giliran pentaksub aktor Salman Khan pula melakukan hal sama ketika tayangan filem Tiger-3 kelmarin.

Menerusi video yang viral sejak semalam itu, sekumpulan peminat dilihat membakar mercun dan bunga api dalam sebuah panggung wayang yang terletak di daerah Maharashtra, Mumbai ketika filem Tiger-3 lakonan Salman sedang ditayangkan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan penonton yang rata-ratanya lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Sedar dengan situasi yang dicetuskan Salman turut tampil bersuara menerusi akaun X dengan meminta para peminat berseronok menonton filem tanpa perlu melakukan sebarang tindakan berbahaya.

“Saya mengetahui mengenai insiden kebakaran dalam panggung ketika tayangan Tiger-3. Perkara itu bahaya.

“Berseronoklah dengan filem tersebut tanpa meletakkan diri dan orang lain insiden yang berisiko. Kekal selamat,” katanya.

Difahamkan, insiden sebegini bukan kali pertama dilakukan oleh peminat Salman.

Sebelum ini, pentaksubnya juga pernah mencetuskan situasi sama ketika tayangan filem Antim: The Final Truth iaitu pada tahun 2021.

Selain Salman, Tiger-3 arahan Maneesh Sharma turut dibintangi oleh Katrina Kaif dan Emraan Hashim. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok