PENYANYI dan pengacara, Elly Mazlein menafikan dakwaan kononnya bakal meninggalkan bidang pengacaraan susulan jarang muncul dalam program televisyen sejak kebelakangan ini.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, berkata dia sengaja memperlahankan kerjaya sebagai pengacara buat sementara waktu bagi memberi tumpuan semula kepada nyanyian.
“Minta maaf, kalau merajuk di saat-saat sebegini, nampak seperti anak-anak. Jadi, saya lebih kepada mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian semula,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran kempen Beli Kain Dapat Emas 2026 anjuran Jakel di Jakel Mall, di sini, semalam.
Bagaimanapun, Elly yang mesra disapa Kak Lina menegaskan dia tidak bersara daripada bidang pengacaraan mahupun lakonan.
“Sebenarnya, saya bukanlah bersara dalam bidang pengacaraan ataupun lakonan. Cuma saya memperlahankan seketika kerana saya mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
“Saya sudah lama tidak mengeluarkan lagu balada seperti Now U Know yang bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Jadi, saya rasa inilah masa yang paling tepat untuk saya tampil dengan lagu balada.
“Kepada semua peminat yang rindukan saya mengacara atau berlakon di TV, jangan risau,” katanya.
Menurut Elly lagi, dia masih terbuka menerima tawaran mengacara acara tertentu selagi tidak membabitkan komitmen jangka panjang.
“Saya akan muncul semula, tetapi buat masa sekarang saya memperlahankan kerjaya dalam bidang pengacaraan dan lakonan kerana mahu memberi tumpuan kepada nyanyian.
“Saya masih akan menerima tawaran sebagai pengacara untuk acara secara ‘one-off’ yang tidak memerlukan komitmen panjang.
“Kalau membabitkan komitmen yang lama, saya tidak akan ambil. Tetapi kalau ‘one-off’, saya akan pertimbangkan,” katanya.
Pada masa sama, Elly berkata dia mahu memberi perhatian kepada kerjasamanya dengan Jakel serta perniagaan yang sedang diusahakan, termasuk persiapan menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
“Saya juga mahu memberi perhatian kepada Jakel dan jenama lain kerana kita tidak lama lagi akan menyambut Ramadan dan Hari Raya. Persiapan pun sudah mula dibuat sekarang.
“Selain itu, saya juga mahu memberi tumpuan kepada perniagaan saya. Insya-Allah, saya akan keluarkan produk tidak lama lagi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Elly bakal melancarkan single terbaharu, Now U Know, hasil kerjasama dengan Drama Band. Video muzik lagu tersebut juga dijangka menampilkan beberapa pelakon terkenal. – HIBGLAM

