‘Tertekan, ramai cakap saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini’

SERING didesak supaya lebih kerap menghasilkan karya baharu bagi memastikan nama terus relevan dalam industri seni, penyanyi Nadeera Zaini mengakui tekanan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap emosinya.

Ujar Nadeera atau nama sebenarnya Farah Nadeera Zaini, 33, mempertahankan nama dalam industri muzik selepas berjaya mencipta populariti bukan perkara mudah, apatah lagi apabila peminat sentiasa menantikan buah tangan baharu daripadanya.

“Mestilah tertekan. Saya sebenarnya sedikit stres apabila terlalu memikirkan perkara seperti ini. Nak mencipta nama sudah satu perkara yang susah, mahu kekal relevan pun susah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memang agak tertekan memikirkan bagaimana mahu mengekalkan nama dan pada masa sama mencari karya serta komposer yang sesuai.

“Saya akui apabila peminat mengatakan saya lambat, tidak mengapa, memang saya lambat pun tapi saya sedang mencari karya yang betul-betul mahu diberikan kepada mereka. Enggan keluarkan sesuatu dengan sia-sia,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Cuba Jadi Aku itu, dia turut berdepan tanggapan segelintir pihak kononnya perjalanan muziknya terlalu bergantung kepada penyanyi dan komposer, Hael Husaini.

Bagaimanapun, dia melihat kerjasama bersama Hael sebagai satu proses pembelajaran, malah menganggap sokongan serta tunjuk ajar diberikan banyak membantunya berkembang sebagai penyanyi.

“Ramai di luar sana cakap saya terlalu bergantung kepada Hael Husaini tapi hanya saya dan dia tahu bahawa dia banyak mengajar saya. Sudah tentu saya juga mahu bekerjasama dengan komposer-komposer lain.

“Saya sudah berjumpa dengan beberapa komposer lain. Hael pula bukanlah melepaskan saya begitu sahaja. Kadang-kadang saya masih minta pendapat.

“Dia pun sentiasa menggalakkan saya meneruskan apa saya buat sekarang. Jadi, bagi saya, sokongan itu sangat membantu dalam perjalanan muzik saya,” ujarnya pada sidang media pelancaran video muzik Cinta Di Akhir Garisan 2.0, semalam.

Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu dalam masa sama tidak menafikan kritikan serta tekanan diterima daripada peminat dan netizen adakalanya meninggalkan kesan mendalam sehingga membuatkan dirinya menitiskan air mata.

“Orang cakap golongan paling tersakiti adalah selebriti sebab merekalah selalu kena kecam. Kita selalu cakap kita kuat dan memang kita perlu kuat.

“Hakikatnya saya juga manusia, saya rapuh dan ada hati. Kadang-kadang saya menangis dan buat-buat tidak dengar semua itu, enggan ambil tahu sebab kita cuma mahu buat kerja kita suka.

“Saya menyanyi bukan semata-mata untuk diri sendiri. Saya mahu berikan sesuatu kepada orang mendengar dan cuba buat orang lain gembira juga,” luahnya.

Sebelum ini, Nadeera sering didesak peminat supaya lebih konsisten menghasilkan karya baharu selepas mengambil tempoh agak lama untuk muncul dengan lagu terbaharu.

Desakan itu turut didorong kebimbangan mereka agar penyanyi berkenaan terus mengekalkan momentum dalam industri muzik serta tidak sekadar dikenali menerusi satu-satu karya popular. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok