PELAKON meningkat naik, Aila Azizul tidak menyangka lakonannya dalam drama Generasi: Perfect 10 membuatkan dirinya diminati golongan kanak-kanak.
Menurut Aila, 31, perkara tersebut mula disedarinya selepas beberapa ditegur peminat cilik setiap kali berada di tempat awam.
“Saya sangat menghargai apabila ada kanak-kanak yang datang menegur saya dan berkata,’akak yang berlakon dalam cerita Generasi: Perfect 10, kan?’
“Umur mereka sekitar 12 dan 11 tahun, memang kanak-kanak.
“Ada sekali itu, saya sedang makan di gerai belakang rumah dan yang tegur saya bukan orang dewasa tetapi kanak-kanak,” katanya kepada HibGlam pada sidang media filem terbaharunya, Pemuja Syaitan di sini, baru-baru ini.
Terharu dengan perkara tersebut, dia yang pernah membintangi filem Malam Terlarang itu memberitahu akan berusaha untuk menjaga keperibadian diri daripada terjebak dengan sebarang kontroversi yang boleh merosakkan imejnya.
“Sejujurnya memang rasa terharu tetapi tidaklah meletakkan diri saya terlalu tinggi (popular) sebab mula dikenali.
“Namun, bila ada yang minat dan anggap diri saya sebagai idola mereka, saya akan berushaa menjaga diri dengan tak buat perkara yang tidak elok serta memaparkan sikap yang baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, dia merupakan bintang utama dalam filem Pemuja Syaitan arahan Liyana Jasmay.
Pemuja Syaitan yang bakal ditayangkan Oktober depan turut membariskan Zul Ariffin, Nadhir Nasar, Elizabeth Tan dan Aida Amron. – HIBGLAM

