VOKALIS Sekumpulan Orang Gila (SOG), Raja Nazrin Shah memberi jaminan kualiti persembahan kumpulannya akan menjadi lebih baik walaupun kini hanya tinggal bertiga.
Sekiranya menerima jemputan persembahan, Raja Nazrin berkata, mereka akan dibantu oleh pemuzik pengiring untuk memastikan tenaga di atas panggung tidak berkurangan.
“SOG kini bertiga. Di masa depan kami sentiasa rancak bergerak. Move on, teruskan kehidupan macam yang kami selalu buat. Kami akan selalu berkarya.
“Kalau daripada segi persembahan full band, SOG ada kawan-kawan yang akan tolong. Sebelum ini pun semasa masih berenam, kami dibantu oleh pemuzik lain jika ada ahli yang tidak berkelapangan.
“Daripada segi tenaga persembahan pula, kami boleh jamin lebih bagus dari sebelum ini. Insya-Allah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selain Raja Nazrin, SOG kini turut dianggotai oleh Raja Nazmin Shah dan Buck Hakimi.
Bercerita lanjut mengenai karya baharu SOG, kumpulan itu bakal tampil dengan sebuah single baharu, Jumaat ini bertajuk Revelation.
Menurut Raja Nazrin, Revelation menampilkan sisi muzik SOG yang lebih garang sebagai taruhan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Revelation bermaksud wahyu. Simboliknya, seperti kita meletakkan kepercayaan kepada sesuatu yang tidak dilihat di depan mata namun penting.
“Susunan muzik untuk lagu ini memang lebih garang berbanding dengan lagu yang pernah SOG hasilkan sebelum ini. Kami berhasrat untuk menembusi pasaran luar negara selepas ini,” tambahnya.
Terdahulu, tiga anggota SOG iaitu Riko Agus, Qayyum Rahum, Amsyar Saiful, MK Ridzuan mengumumkan tidak lagi menjadi ahli kumpulan itu sejak dua bulan lalu.
Pengumuman itu dikongsikan Riko menerusi sebuah hantaran dalam Instagram miliknya, semalam. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA