Pitahati bawa muzik Melayu ke Bali

BUKAN sekadar hadir untuk beraksi, bahkan lebih penting lagi peluang melihat apa yang sedang berlaku dalam gelombang muzik rantau ini.

Itu antara matlamat di jiwa setiap tubuh atas paksi Pitahati, apabila bakal membawa nama Malaysia ke pentas AXEAN Festival 2026 yang akan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos ini di Jimbaran Hub, Bali, Indonesia.

Bila pergi ke festival macam AXEAN, kita bukan datang sekadar untuk bermain. Kita juga datang untuk melihat apa yang sedang berlaku dalam muzik di rantau ini, berkenalan dengan artis dan orang industri lain dan bawa muzik kita ke ruang yang mungkin sebelum ini belum pernah kita sampai,” kata Ilham, vokalis Pitahati.

Tidak sendirian, Pitahati menjadi antara tiga nama dari Malaysia yang terpilih untuk membuat persembahan di edisi keenam AXEAN Festival, bersama MASDO dan kolaborasi Lil Asian Thiccie x DJ Magn3sium.

Tahun ini, AXEAN menghimpunkan lebih 40 artis di tiga pentas, selain program persidangan, sesi networking dan aktiviti pembangunan industri muzik.

Bagi Pitahati, peluang ini bukan sekadar sebuah persembahan di luar negara, tetapi ruang untuk memperkenalkan muzik mereka kepada pendengar dan penggiat industri dari rantau Asia Tenggara dan luar rantau.” kata Rahman, pengurus Pitahati.

AXEAN Festival sendiri mempunyai fokus yang kuat terhadap pertukaran dan eksport muzik serantau. Sejak penubuhannya pada 2020, platform berkenaan telah menyaksikan penyertaan lebih 200 artis dari 20 negara dan menghimpunkan ratusan delegasi industri dari segenap pelosok dunia.

Kami rasa penting untuk band Malaysia berada dalam ruang sebegini. Asia Tenggara ada banyak muzik yang menarik, dan kita mahu menjadi sebahagian daripada perbualan itu.

“Harapnya persembahan Pitahati di Bali nanti boleh membuka lebih banyak peluang untuk muzik kami bergerak di luar Malaysia,” tambah Ilham lagi.

TAHUN ini Pitahati menjadi antara wakil Malaysia ke AXEAN Festival di Bali.

Selain Pitahati, edisi tahun ini turut menampilkan artis dari Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Macau, Perancis dan beberapa negara lain.

Pitahati melihat penyertaan ini sebagai satu lagi langkah untuk membawa identiti muzik Malaysia ke khalayak yang lebih luas, sambil terus membina hubungan dengan komuniti muzik Asia Tenggara.

Mewakili label rakaman, Keon Omar pula berkata penyertaan Pitahati tahun ini penting dalam usaha memperluaskan pasaran artis Malaysia ke rantau Asia Tenggara.

Rock Melayu

Dalam masa sana, ini merupakan sebahagian daripada usaha melihat artis tempatan bukan hanya untuk pasaran Malaysia, tetapi juga sebagai artis yang mempunyai potensi untuk dieksport ke pasaran serantau.

“Pitahati adalah antara artis yang sesuai untuk dibawa ke ruang seperti AXEAN. Mereka ada identiti muzik yang jelas dan pengalaman persembahan yang kuat.

Kita mahu lihat sejauh mana muzik mereka boleh diterima di luar Malaysia, khususnya dalam ekosistem muzik Asia Tenggara,” katanya.

Lebih penting lagi, kemunculan Pitahati di Bali nanti menjadi salah satu contoh bagaimana artis Malaysia boleh mula membina kehadiran di luar pasaran domestik.

AXEAN menghimpunkan artis dari pelbagai negara bersama delegasi industri melalui persembahan, ‘networking’, panel, ‘business matchmaking’ dan program pembangunan muzik.

“Kalau kita bercakap tentang perkembangan muzik Melayu, kita perlu melihatnya sebagai satu pasaran yang lebih besar daripada Malaysia.

Bahasa Melayu dan budaya serantau mempunyai sejarah dan hubungan yang panjang, jadi ada ruang untuk kita membina pendengar di Indonesia, Brunei, Singapura dan seterusnya ke pasaran Asia yang lebih luas,” kata Datuk M.Nasir, selaku pengarah Luncai Emas tentang potensi muzik Melayu di pasaran luar.

Menurut M. Nasir, pengantarabangsaan muzik Melayu tidak semestinya bermaksud mengubah identiti muzik tempatan supaya mengikut pasaran luar.

Kita tidak perlu buang identiti untuk masuk ke pasaran lain. Sebaliknya, kita perlu cari cara untuk membawa identiti itu keluar dan memperkenalkannya kepada pendengar yang baru. Peranan label adalah untuk membantu artis mencari ruang dan jaringan yang sesuai untuk perkara tersebut,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok