BELUM reda kejutan pengumuman pembubaran Kangen Band, vokalisnya Andika Mahesa mendakwa dia tidak mengetahui hayat kumpulan yang ditubuhkan sejak 21 tahun lalu itu sudah berakhir.
Andika, 43, berkata, khabar pembubaran tersebut hanya diketahui menerusi media sosial malah dia kurang jelas mengenai tindakan mahupun punca gitaris, Dodhy Hardiyanto berbuat demikian.
Saya belum tahu maksud diungkapkan dalam Instagramnya. Tunggu sahaja nanti (pengesahan) daripada syarikat pengurusan atau pihak berkaitan.
“Kena berjumpa dahulu dengan anggota lain. Nanti saya terbang ke Jakarta, bertemu mereka. Kami harus duduk bersama,” katanya kepada portal Detikhot.
Kenyataan Andika itu susulan pengumuman mengejutkan Dodhy juga komposer berkenaan pembubaran Kangen Band selepas dua dekad berjuang dalam industri muzik.
Menerusi hantaran berkenaan, pemuzik berusia 42 tahun itu turut memuat naik foto lengkap anggota Kangen Band yang disunting dengan perkataan ‘Bubar’.
Lebih mengejutkan, Dodhy mendakwa keputusan tersebut dibuat kerana wujud kezaliman dalam kumpulan berkenaan yang didakwa sudah lama dipendam.
Bismillah saya dengan sedar menyatakan Kangen Band bubar kerana ada kezaliman di dalamnya. Saya selaku pemilik dan pengasas Kangen Band menyimpan rasa sakit ini sekian lama,” tulisnya.
Dodhy yang turut dikenali sebagai pencipta utama rangkaian lagu kumpulan asal Lampung, Indonesia itu memberi amaran kepada rakan lain agar jangan menyanyikan lagu ciptaannya dalam persembahan.
“Buat anggota yang terlibat dan EO (penganjur), dilarang keras bekas angota Kangen Band membawa lagu ciptaan saya,” katanya.
Sebagai pengasas dan gitaris, Dodhy memainkan peranan besar dalam perjalanan Kangen Band sejak kumpulan tersebut ditubuhkan pada Julai 2005.
Sepanjang perjalanan karier, Kangen Band menghasilkan enam album dan kira-kira 20 single, termasuk lagu popular seperti Tentang Aku, Kau dan Dia, Selingkuh, Tentang Bintang serta Yolanda.
Pengumuman tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai nasib komitmen persembahan anggota Kangen Band yang masih aktif menerima undangan sehingga akhir tahun ini.
Pada penghujung Ogos lalu, grup terbabit masih beraksi sebagai salah satu pengisi acara Festacation 1.0 di Taman Bung Karno Tabanan, Kabupaten Tabanan, Bali.
Andika juga sebelum ini mempunyai jadual persembahan yang diumumkan menerusi Instagram miliknya termasuk kemunculan di Kaizen Bekasi Summarecon, Bekasi pada 18 September ini.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada penjelasan lanjut daripada Dodhy mengenai bentuk kezaliman yang didakwa menjadi punca kepada keputusan membubarkan Kangen Band.
Selain Dodhy dan Andika, kumpulan yang turut mencipta nama di Malaysia itu juga dibarisi Eren Hill, Tama, Bebe serta Izzy.
Terdahulu, Kangen Band mengadakan konsert sulung di Zepp Kuala Lumpur pada 2 September 2023, diikuti Konsert C.I.N.T.A Kembali Pulang Live in Kuala Lumpur di lokasi sama setahun kemudian.
Mereka juga tampil di konsert Healing Nite Kuala Lumpur 2026 di Stadium Merdeka pada Januari lalu sepentas dengan Ella, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Lyodra.
Berdasarkan jadual, Kangen Band bakal mengadakan konsert Anniversary ke-21 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Disember ini. – HIBGLAM
