‘Takkanlah saya bodoh labur duit kalau anak tak berbakat’

PENERBIT sensasi, Datuk A. Aida menyelar segelintir pihak yang mendakwa kononnya puteri kesayangannya, Azeva mendapat laluan mudah dalam industri hiburan hanya kerana mempunyai ibu berpengaruh.

Ujar A. Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 56, sebagai penerbit tidak mungkin dia sanggup mengeluarkan modal sekiranya anaknya tiada bakat untuk diketengahkan dalam industri seni.

“Soalan bodoh yang ramai bertanya, anak saya, Azeva guna kabel emak dia ke?

“Jawapan saya kepada soalan bodoh sebegitu, saya buat album sebab dia boleh menyanyi dan saya hasilkan filem sebab dia boleh berlakon.

“Takkanlah saya ini bodoh melaburkan duit kalau anak sendiri tidak boleh menyanyi atau berlakon,” tegasnya dalam Threads.

Tambahnya, hubungan kekeluargaan bukan tiket untuk seseorang bergelar anak seni tanpa memiliki bakat malah kemampuan serta potensi tetap menjadi pertimbangan utama sebelum dia membuat sebarang pelaburan.

“Tidak kisah anak sendiri atau orang lain. Kalau ada bakat dan aura, kita akan bantu serta dorong mereka pergi lebih jauh.

“Semoga anak saya, puteri saya, terus menyinar dan mewarnai industri hiburan,” ujarnya.

Kenyataan tersebut mendapat perhatian netizen, malah sebahagian pengikutnya tampil memberikan sokongan terhadap keputusan A. Aida membantu perjalanan seni anaknya.

“Tidak mengapa, Datuk. Semoga Azeva menjadi artis lebih bersinar pada masa akan datang kerana puteri Datuk memang mempunyai bakat dan aura seorang artis.

“Pedulikan sahaja. Kalau menggunakan kabel sekalipun, apa masalahnya? Dia anak Datuk dan berbakat besar. Anggaplah semua itu sebagai satu pelaburan,” antara komen netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pengguna media sosial berterusan mempertikaikan kemampuan Azeva dalam bidang nyanyian serta mengaitkan kemunculannya dengan pengaruh A. Aida.

Sebelum ini, kemunculan Azeva dalam industri hiburan mengundang pelbagai reaksi apabila ada pihak mendakwa penglibatannya adalah kerana dia anak kepada A. Aida.

Malah, kemampuan Azeva sebagai penyanyi turut dipersoalkan sesetengah netizen selepas dia melancarkan single sulung berjudul Tanpa Rasa Jemu baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok