TAHUN 2022 menjadi titik mula buat penyanyi popular Indonesia, Hindia memuatkan memori persembahan di Malaysia menerusi penganjuran TAPAUfest.
Setahun kemudian, mereka kembali menghiburkan peminat setia menerusi konsert Here Comes The Sun Eater bersama Feast, Mantra Vutura, dan Midnight Fusic, sebelum menggegar pentas Latihan Pestapora Malaysia pada tahun lalu.
Jika diimbas kembali sejarah kemunculan awal Hindia di negara ini, tiket konsert mereka pernah dikatakan kurang mendapat sambutan.
Bagaimanapun, tahun ini membuktikan skala populariti Hindia semakin melonjak apabila konsert sulung mereka, Doves ‘25 On Blank Canvas di Malaysia berjaya mencatatkan jualan tiket secara ‘full house’.
Tidak keterlaluan untuk disifatkan bahawa inilah satu persembahan konsert yang sebenar-benarnya.
Bukan sekadar mempertaruhkan kehebatan karya serta vokal yang mantap, Hindia turut menterjemahkan sebuah konsert yang penuh berkonsep dan estetika tersendiri.
Sebaik sahaja memasuki ruang dewan Megastar Arena, pengunjung disambut dengan penataan set pentas bertema ruang tamu rumah yang dipenuhi barisan lampu berdiri, sofa serta cermin.
Kemahiran dan idea kreatif pasukan produksi Hindia wajar diberi pujian tinggi.
Sebelum konsert bermula, skrin gergasi menayangkan ucapan penghargaan buat seluruh tenaga kerja yang terlibat.
Uniknya, berbanding paparan nama biasa, mereka merakam wajah setiap kru secara ‘live’ sebagai pengenalan rasmi.
Tanpa membiarkan peminat tertunggu-tunggu, tepat pukul 8.30 malam, Baskara selaku vokalis tampil bertenaga membuka pentas menerusi lagu Perseverance (in the face of grief), Hated In The Nation, Cincin, serta Untuk Apa/Untuk Apa?
Keempat-empat lagu awal tersebut terus merancakkan adrenalin ribuan pengunjung yang hadir.

BASKARA (kanan) menjadi penggerak Hindia sedari awal perjalanan band tersebut. – INSTAGRAM @GENGGALAU
Penggunaan elemen visual pada latar belakang turut memberikan kesan estetik mendalam.
Setiap lagu disulami visual berbeza yang bertepatan dengan emosi karya seperti menerusi lagu Semua Lagu Cinta Terdengar Sama.
Kamera secara automatik merakam wajah pasangan kekasih di dalam dewan untuk dipaparkan pada skrin, sekali gus mewujudkan atmosfera romantis.
Persembahan diteruskan lagi dengan barisan karya Letdown, Janji Palsu, Siapa Yang Akan Datang Ke Pemakamanmu Nanti?, Evakuasi dan The World Is Ending.
Mereka juga menyajikan Anak Itu Belum Pulang, Kami Khawatir Kawan, Harga Satu Pil, Secukupnya serta Yaayo.
Sebelum menyampaikan lagu Anak Itu Belum Pulang, Baskara sempat mengimbas kisah sedih seorang remaja bernama Wawan yang ditembak tanpa diketahui pelakunya.
Mengakhiri lagu tersebut, Baskara membuka sekaki payung tertera perkataan ‘You’re Next’ iaitu sebuah mesej simbolik bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa seterusnya.
Sesi unplugged
Menambah variasi dan impak konsert, skrin besar tiba-tiba memaparkan pergerakan ahli Hindia keluar dari pintu A Megastar Arena menuju ke pintu B.
Kejutan tersebut dibawakan khas buat penonton di bahagian belakang dewan apabila Hindia membawakan persembahan set kedua secara ‘unpluggged’.
Menerusi ruangan tersebut, lagu-lagu seperti Betty, Pesisir, Rumah Ke Rumah, dan Membasuh disampaikan secara lebih intim.
Kembali ke pentas utama, Hindia meneruskan kehangatan menerusi A Feeling, Kita Ke Sana, Bayangkan Jika Kita Tidak Menyerah dan Kids.
Lebih menarik, Hindia turut memperdengarkan lagu terbaharu mereka berjudul Nafas, dan kemudian siri persembahan diserikan lagi dengan seleksi Evaluasi, Nabi Palsu, serta Loved By You khusus buat peminat di Malaysia.
Sebagai penutup tirai yang cukup bermakna bagi konsert Doves ‘25 On Blank Canvas, lagu Berdansalah dan Everything U Are diangkat seleksi akhir persembahan. – HIBGLAM
