MEREALISASIKAN sebuah filem epik aksi dengan bajet RM5 juta bukan tugas mudah, namun pengarah Hashim Rejab enggan menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk berkompromi terhadap kualiti filem baharunya, Orang Perang.
Menurut Hashim, cabaran terbesar adalah memastikan naskhah yang mengangkat kisah perjuangan masyarakat Orang Asli menentang komunis tetap mempunyai skala mega, terutama dari segi aksi, lokasi dan suasana Tanah Melayu era 1950-an.
“Bajet RM3 juta sebenarnya bukanlah besar untuk menghasilkan sebuah filem epik. Banyak perkara yang perlu kami fikirkan dan susun dengan teliti supaya setiap sen yang dibelanjakan memberikan impak kepada filem.
Latar 1950-an
“Cabaran paling besar adalah bagaimana hendak memberikan gambaran sebuah latar pada tahun 1950-an untuk tonjol suasana pada era tersebut.
“Memang sangat mencabar kreativiti kerana kita mempunyai kekangan dari segi bajet, masa serta lokasi di kawasan hutan.
“Namun hasil kerjasama pasukan termasuk kru belakang tabir serta pelakon, filem ini direalisasikan dengan sempurna. Tiada kompromi untuk memberikan hasil terbaik,” katanya ketika pelancaran trailer dan lagu runut bunyi Orang Perang, baru-baru ini
Filem terbitan 3Line Media Sdn Bhd dan Nanord Studio Production tersebut diinspirasikan daripada kisah benar masyarakat Senoi Praaq berdepan ancaman komunis ketika Tanah Melayu sekitar era 1950-an.
Hashim berkata, penggunaan lokasi sebenar termasuk Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih turut menuntut persiapan rapi bagi memastikan elemen hutan dan perkampungan mampu menghidupkan suasana zaman.
“Bila kita buat filem seperti ini, lokasi sangat penting. Hutan bukan sekadar tempat untuk letakkan kamera, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada cerita, begitu juga kostum zaman itu.
“Kita perlu pastikan penonton dapat rasa mereka berada dalam era tersebut. Banyak perkara perlu dirancang termasuk pergerakan pelakon, aksi, pakaian, set dan bagaimana kita menggunakan alam sekitar yang ada,” ujarnya.
Orang Perang turut menampilkan Ammar Alfian, Niezam Zaidi, Adam Corrie, Josiah Hogan, Syazwan Zulkifly Fadhli Masoot, Nam Ron, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.
Gabungan ramai aktor berpengalaman bersama bakat generasi baharu mewarnai lagi penceritaan serta menghidupkan watak yang terperangkap dalam konflik serta ancaman keselamatan.
Serangan komunis
Selain aksi dan babak bersenjata, naskhah berkenaan turut mengetengahkan persoalan mengenai kepercayaan, persahabatan, kesetiaan serta keberanian membuat pilihan ketika berdepan ancaman terhadap masyarakat sendiri.
“Paling penting, saya mahu penonton melihat sisi perjuangan masyarakat Orang Asli yang selama ini mungkin kurang diketengahkan.
“Mereka juga mempunyai peranan penting serta menyuntik semangat juang dalam mempertahankan tanah air.
“Harapan saya, selepas menonton Orang Perang, penonton bukan sahaja terhibur dengan aksi dipaparkan, malah lebih menghargai pengorbanan mereka dan keamanan kita nikmati hari ini,” katanya.
Kisah bermula apabila Bah Tangga lakonan Niezam serta orang kampungnya yang tinggal di kawasan pedalaman diserang komunis yang mula bermaharajalela.
“Keamanan masyarakat yang selama ini bergantung kepada alam dan kehidupan berkomuniti musnah dalam sekelip mata apabila mereka dipaksa berhadapan dengan keganasan.
Orang Perang yang memaparkan banyak adegan mendebarkan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026. – HIBGLAM
