DIKATAKAN bakal berpecah, kumpulan Alpha menafikan dakwaan tersebut sekali gus menegaskan khabar angin yang bertebaran hanyalah spekulasi liar tidak berasas.
Menurut ahlinya iaitu Arief Fesol, kumpulan tersebut tidak mampu bergerak sekiranya kehilangan seorang anggota.
“Saya rasa perkara ini normal. Kami sedang dalam perjalanan orang sedang melihat.
Ada orang tak kenal secara peribadi akan buat spekulasi. Sepanjang setahun lebih dengan Alpha, tak pernah cakap tak ada masalah tapi untuk meninggalkan Alpha, tiada seorang pun akan tinggalkan perjalanan ini.
“Kenderaan kita berjalan menggunakan tujuh pemandu dan kalau kurang satu pemandu akan membataskan perjalanan kita,” katanya kepada HibGlam pada Majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), kelmarin.
Sementara itu, Araff mengakui terkejut dengan spekulasi yang mendakwa dirinya mahu berehat bagi menyambung pelajaran.
“Bagi menjawab persoalan itu, tidaklah. Mungkin itu adalah propaganda, saya tak baca dan tak tahu.
Hubungan saya dengan Alpha lain, masih baik. Jangan risau dan jangan mudah percaya apa orang cakap atau beritahu.
“Saya baru dapat tahu benda ini dan agak terkejut. Biasalah benda ini akan wujud dalam kalangan kami,” jelasnya.
Pada masa sama, selaku ketua kumpulan Daniel Sher menegaskan fokus utama mereka ketika ini adalah untuk memberikan komitmen penuh terhadap kerja terutamanya persiapan konsert sulung akan datang.
“Kami akan buat konsert dan bekerja sangat keras. Kami datang dari latar belakang yang berbeza.
Kami sentiasa teruja kalau ada apa-apa tawaran kerja atau latihan. Tak pernah terfikir dalam fikiran mengenai perkara ini,” ujarnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan Alpha bakal berpecah memandangkan ada anggotanya mahu membawa haluan sendiri.
Dalam perkembangan lain, Alpha pertama kali tercalon dalam AIM25 menerusi kategori Artis Baru Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik. – HIBGLAM
