Biar Jarir lalui hidup seperti kanak-kanak lain – Amira Othman

GENAP lebih tiga bulan melahirkan cahaya mata sulung, penyanyi Amira Othman belum bersedia berkongsi wajah mahupun perkembangan puteranya, Muhammad Jarir Umar kepada umum.

Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 33, menjelaskan keputusan dibuat demi melindungi privasi serta kesejahteraan anaknya agar dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

“Insya-Allah apabila sesuai pada waktunya nanti, kita pasti akan kongsikan kepada peminat.

“Bagi saya biarlah dia melalui kehidupan kanak-kanak seperti yang lain asalkan dia dipelihara. Maklumlah mak dan ayah dia ada ‘haters’.

Jadi saya harap perkara itu tidak melibatkan dialah, apa-apa pun kita sentiasa berdoa yang baik-baik,” katanya kepada HibGlam pada Majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke 25 (AIM25), semalam.

Dalam masa sama, pelantun lagu Hati-Hati itu turut terbuka berkongsi pengalaman bersalin yang dilalui menerusi kaedah pembedahan.

Katanya, setiap ibu mempunyai perjuangan tersendiri dan tidak sepatutnya wujud isu perbandingan.

“Saya buat pembedahan. Tetapi saya selalu beritahu terutama bila buat sesi siaran langsung, tak kisahlah bersalin secara pembedahan atau normal, susu formula atau susu badan.

“Yang penting kita dapat beri apa yang termampu untuk melindungi anak.

“Ibu saya agak tegas, jadi saya memang ikut pantang betul-betul dan paling penting tidak mahu stres. Suami pun selalu pesan supaya sentiasa bertenang dan jangan tertekan,” jelasnya.

Untuk info, Amira dan pelakon Fattah Amin selamat diijabkabul pada 14 September 2025.

Amira selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada 22 Jun lepas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok