TERUS memperjuangkan irama nasyid kontemporari, Rabbani mempertaruhkan karya terbaharu, Muhammad Al-Mustofa yang menitipkan sejuta rasa cinta dan kerinduan buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Ketua kumpulan itu, Azadan Abd. Aziz, berkata istimewanya single yang dihasilkan dengan melodi mendamaikan dan lirik sarat makna itu
dilancarkan bersempena sambutan Maulidur Rasul, bulan lalu.
“Muhammad Al-Mustofa bukan hanya untuk didengar, tetapi dihayati sebagai sebuah karya yang menjadi penghubung rasa antara manusia dengan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
“Dendangan itu turut menampilkan sisi muzik yang cukup indah menerusi lenggok vokalis, Zulkiflee Azman bersama melodi bernuansa klasik,” katanya.
Menurut Azadan, pembawaan vokal rakan seperjuangannya itu seakan-akan mengimbau kehalusan seni Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sekali gus memberikan bunyi tersendiri kepada karya berkenaan.
“Setiap bait disampaikan penuh penghayatan membuatkan pendengar semakin menghayati kisah perjuangan Rasullah SAW,” ujarnya.
Tambahnya, melodi serta lirik lagu tersebut merupakan hasil sentuhan bersama Adi Saujana dan Azahari Nowseeheart.
Manakala proses rakaman diselia Wan Saleh selaku penerbit dan jurutera muzik yang menitikberatkan susunan muzik, kualiti rakaman serta keseluruhan produksi.
Diterbitkan Scriptology Music, Muhammad Al-Mustofa yang membawa mesej cinta, penghargaan serta kedamaian diharapkan dapat dinikmati seisi keluarga. – HIBGLAM
