SELEPAS lebih tiga dekad menyinar dengan gelaran pengacara dalam pelbagai program televisyen, Datuk Aznil Haji Nawawi kini tampil merealisasikan impian yang sudah lama disimpan.
Dengan bangganya, Aznil atau mesra disapa Pak Nil menubuhkan kumpulan K4LAM yang mengetengahkan konsep kecerdasan buatan (AI) dan manusia.
Kumpulan yang dianggotai empat anggota iaitu Isa Khan, Danny, Zilhilmi dan Allif itu juga membawakan lagu-lagu berkonsep kerohanian dan ketuhanan.
Dengan niat memanfaatkan AI sebagai sebuah eksperimen, AG Coco menyempurnakan hasrat Pak Nil menerusi penghasilan single pertama K4LAM yang diberi judul MUSA.
Pak Nil, 63, menjelaskan ilham penubuhan dan identiti kumpulan K4LAM yang mengetengahkan gabungan unik antara teknologi dan konsep ketuhanan.
“Kenapa saya namakan kumpulan K4LAM sebab itu adalah kalam Allah.
“Kalau kalian lihat ejaannya sebenarnya 4 itu menggantikan A dan mereka adalah empat orang daripada anggota kumpulan ini.
Kalam adalah sesungguhnya kami ingin pegang untuk senang orang tahu bahawa lagu yang kami dendangkan nanti adalah karya berkaitan dengan Kalam Allah,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas mengenai hala tuju kumpulan tersebut, pengacara program Talk To My Manager itu menegaskan bahawa penubuhan K4LAM didorong rasa tanggungjawab, bukannya keutamaan komersial atau kepentingan peribadi.
“Kalau ikutkan keserasian itu saya serahkan kepada Allah dan sememangnya apa yang kami lakukan ini saya tidak melihat sebagai sumber kewangan.
“Saya juga tidak melihat sebagai sumber populariti atau memanjangkan hayat kerjaya saya.
Saya melakukan ini Lillahitaala (kerana Allah Taala) sebab saya rasa ini adalah tanggungjawab saya dan lama dalam bidang ini. Keserasian ini juga saya serahkan kepada Allah,” jelasnya.
Tak layak
Dalam pada itu, Aznil turut memberikan peringatan tegas buat keempat-empat ahli agar sentiasa menjaga sahsiah dan imej diri memandangkan konsep yang diperjuangkan berkait rapat dengan nilai keagamaan.
“Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga silaturrahim dan saya pesan pada mereka, apa sahaja dilakukan anda membawa nama Allah di situ.
Jadi, berhati-hati dalam pengucapan, tingkah laku, berpakaian dan apa jua butir yang anda katakan,” ujarnya.
‘Hati-hati berkata-kata, jaga tingkah laku’ – Nasihat Pak Nil buat Kalam
Mengenai sasaran kejayaan atau penglibatan dalam anugerah muzik pentas utama seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) mahupun Anugerah Industri Muzik (AIM), Aznil menetapkan pendirian awal bahawa karya tersebut tidak akan dicalonkan memandangkan dibikin menggunakan AI.
“Untuk AJL atau apa pun pertandingan, saya tidak akan menyenaraikan naskhah ini sebab sangat jelas bahawa ini bukan ciptaan komposer. Saya tidak layak untuk berada di pentas yang menampilkan kreativiti minda dan komposer tanah air.
Kami tidak layak, dari awal saya kata perjuangan kami adalah untuk menjadikan ini sebagai landasan untuk anak-anak mendekati Kalam Allah dan bukan untuk tujuan bertanding.
“Saya boleh saja menipu katakan ini lagu ciptaan saya dan bertanding di peringkat AIM atau AJL. Tetapi adakah itu asas perjuangan kami?
“Kami sangat telus, ini adalah lagu ciptaan AI dan pentas besar yang gah itu tidak layak untuk kami,” tutupnya. – HIBGLAM
