Suhu paling panas sepanjang 37 tahun hidup – Zul Ariffin

Pelakon terkenal Zul Ariffin menyifatkan cuaca sepanjang melaksanakan wukuf di Arafah baru-baru ini adalah paling panas pernah dirasainya sepanjang 37 tahun hidup.

Pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu bagaimanapun tidak merasakan perkara tersebut sebagai beban sebaliknya satu pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Sepanjang 37 tahun hidup, hari wukuf di Arafah adalah suhu paling panas pernah saya rasa.

“Ketika itu saya pakai selipar dan tapaknya sangat panas.

“Semua itu pengalaman haji yang tidak boleh dibeli. Sangat seronok,” katanya dalam siaran langsung Instagram semalam.

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi drama Perempuan Itu mendoakan semua umat Islam diberi kesempatan untuk menunaikan ibadah haji.

Dia juga berpendapat setiap individu perlu mengejar peluang menunaikan haji, bukan hanya menunggu tanpa sebarang usaha.

“Pada pendapat saya, jangan tunggu dan cari peluang untuk ke sana. Cuba tanya dan sentiasa ambil tahu mengenai ibadah haji.

“Dulu saya selalu minta doa supaya sampai sana tetapi lepak di kedai mamak. Alhamdulillah dapat juga peluang ini.

“Jadi, kalau nak pergi haji, kena kejar. Semoga semua dapat merasai pengalaman ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Zul pernah berkongsi pengalaman wukuf di Arafah sehingga tapak kakinya koyak dan kulit badannya terasa seakan terbakar  berikutan cuaca panas di tanah suci.

Zul antara selebriti tanah air yang berpeluang menunaikan haji pada tahun ini.

Antara selebriti lain mengerjakan ibadah itu ialah Datuk Aaron Aziz, Faizal Tahir dan Alif Satar. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok