‘Dah lama nak satukan Siti, Zul sebagai pasangan kekasih’

SEMPENA meraikan ulang tahun pertama, platform penstriman (OTT) UTV menghadiahkan sebuah karya istimewa, Takdirnya Cinta yang buat pertama kali menyatukan dua pelakon hebat iaitu Zul Ariffin dan Siti Khadijah.

Hampir 80 peratus penggambaran dijalankan di Istanbul, Turki, Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Hasan berkata, strategi menggabungkan dua pelakon tersebut ternyata berjaya memandangkan kedua-duanya memberi kerjasama dan keserasian yang baik.

Sejak awal, kami memang mahu Zul menjadi sebahagian daripada karya UTV. Kami merasakan naskhah ini peluang terbaik untuk menggandingkan Zul dengan Siti memandangkan mereka belum pernah dipertemukan sebagai pasangan dalam mana-mana naskhah.

“Sepanjang penggambaran, saya dapat rasakan keserasian yang wujud dan kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri selain berjaya memberi lakonan hebat dalam Takdirnya Cinta. 

“Tidak mustahil akan ada Takdirnya Cinta 2 sekiranya karya ini menerima sambutan hangat,” katanya.

Istanbul

Menurut Adzliana, pemilihan Istanbul sebagai antara lokasi utama penggambaran pula dibuat bagi memberikan identiti tersendiri kepada naskhah tersebut.

“Istanbul mempunyai sisi romantik yang cukup kuat, tetapi dalam masa sama masih mempunyai elemen dan suasana Islamik yang dekat dengan kita.

“Seni bina, budaya dan pembangunan kotanya memberikan visual serta suasana yang sangat menarik untuk perjalanan kisah cinta ini.

Kami mahu penonton bukan sahaja mengikuti cerita Sofea (lakonan Siti Khadijah), tetapi turut merasai perjalanan emosi watak menerusi suasana dan keindahan Istanbul,” katanya.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok