Urusan mahkamah ‘kacau’, kahwin tergendala lagi

SELAIN ahli keluarga sendiri, insan yang menjadi penyuntik semangat kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tentu sahaja tunangannya, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Kelibat wanita kecil molek yang tiba di Istana Kehakiman Putrajaya pada Isnin lalu bagi memberikan sokongan moral terhadap bakal pemimpin hidupnya itu meraih perhatian ramai.

Impak populariti dan efek sensasi yang diraih, pekarangan mahkamah tempoh hari sesak dengan lebih 100 wakil media dari dalam dan luar negara yang mengikuti prosiding rayuan akhir pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq. 

Ibarat menanti keputusan pilihan raya, kes berkenaan menjadi sorotan utama dalam media sosial.

Biarpun jawapannya seumpama anti-klimak, penangguhan keputusan rayuan akhir berikutan seorang daripada panel hakim cuti sakit, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, tenang. 

Bella seperti Syed Saddiq, masing-masing seboleh-bolehnya mengelak daripada mengulas perihal pernikahan susulan keputusan akhir rayuan ditangguhkan ke tarikh 13 Julai ini.

Walaupun pada awalnya enggan  memberikan respons tentang hari bahagia mereka yang difahamkan dirancang tahun ini, penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu akhirnya membuka mulut.

“Saya hormati keputusan mahkamah sebab ada perkara yang kita tak boleh jangka. Doakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selesai prosiding di Mahkamah Rayuan.

Kosongkan jadual

Biarpun dia tidak menjawab secara langsung, kemunculannya pada detik penting tersebut menunjukkan kepercayaan tidak berbelah bahagi terhadap insan penting dalam hidupnya.

Bahkan katanya, dia juga  mengosongkan jadual pada hari tersebut semata-mata mahu memberi sokongan kepada tunangnya, selain berharap Syed Saddiq tabah dengan penangguhan ditetapkan itu.

Semoga tabah. Insya-Allah saya sentiasa sokong. Saya ada kerja hari ini. Selepas ini nak makan tengah hari, kemudian terus pergi kerja,” katanya.

Bagi Syed Saddiq pula, penangguhan ke tarikh baharu diterima dengan reda, malah tumpuannya sepanjang tempoh ini sehingga dua minggu akan datang adalah terhadap prosiding mahkamah.

Menurutnya, saat berada di institusi kehakiman, dia mencampuradukkan urusan peribadi dengan prosiding mahkamah yang sedang dilalui.

“Saya minta maaf. Saya di sini untuk membicarakan soal perbicaraan di institusi kehakiman. Saya hormati keputusan mahkamah,” ujarnya yang barangkali terlupa satu perkara.

Saat menjalin hubungan dengan selebriti dan segala urusannya dijaja dalam media sosial, bahkan solat hajat memohon kelancaran majlis juga dihebahkan dalam media dengan sokongan organisasi media, sudah tentu keputusan mahkamah yang secara tidak langsung menjadi penentu rasminya tarikh nikah mereka yang tertangguh akan segera dimasukkan dalam buku acara.

Untuk Syed Saddiq dan Bella, jika pandai mencanang hubungan, pertanyaan media juga tidak boleh dihalang.

Pada masa sama, laman media sosial juga tidak sunyi dengan ‘suara-suara sumbang’ mempersoalkan kewajaran kehadiran Bella di mahkamah.

Biarpun belum rasmi bergelar isteri, rata-rata netizen menyifatkan wanita terbabit memberi kekuatan berganda kepada Syed Saddiq terutama ketika berhadapan dugaan dalam kerjaya politiknya.

Pastinya pada 13 Julai nanti sekali lagi sejoli itu akan jadi sorotan ramai, bebas atau tidak Syed Sadduq, di situ letaknya masa depan Bella.

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok