BEGITULAH dunia hiburan, setiap minggu pasti ada episod baharu menghiasi media sosial, memancing perhatian netizen sehingga menjadi buah mulut segenap lapisan masyarakat.
Lebih menjadi-jadi apabila media sosial kini menjadi pentas utama. Netizen pula bertindak sebagai pengarah tidak rasmi, pantas membina teori, menghukum dan menentukan siapa protagonis atau antagonis.
Minggu ini, nama pelakon Abby Abadi sekali lagi mengisi ruang perbualan ramai, namun bukan lagi mengenai episod makan hati dengan anak, luahan terhadap bekas suami atau polemik keluarga seperti kebiasaan.
Sebaliknya, perhatian tertumpu kepada keterujaannya apabila anak perempuannya, Marissa Dania dipercayai sudah menemui teman istimewa baharu iaitu model dan pempengaruh dikenali sebagai Munir Akhunov.
Pemilik nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan itu bukan sahaja dilihat ‘merestui’ hubungan tersebut, malah secara terbuka menitipkan doa agar urusan anaknya dipermudahkan sekiranya benar sudah bertemu jodoh.
Doakan yang baik-baik ya. Nanti sampai masa ada jodoh saya kongsi,” katanya.
Kalau sudah suka, semuanya manis dan begitulah Abby apabila dilihat mempertahankan Munir daripada tuduhan negatif segelintir netizen. Baginya, mustahil memuaskan hati semua pihak kerana setiap manusia ada pandangan berbeza.
Berbeza reaksinya terhadap Aslam sebelum ini, berbakul pujian dilemparkan terhadap Munir, malah menyifatkan pemuda itu berbudi bahasa, menghormati orang tua serta memiliki adab tinggi sepanjang perkenalan mereka.
Lebih mencetuskan bualan apabila Abby secara terbuka mengucapkan penghargaan kepada Munir.
“Terima kasih adik belanja mama, abah dan adik-adik duduk hotel. Terima kasih kerana berkongsi rezeki. Terima kasih Munir bahagiakan Marissa,” tulisnya.
Tidak salah seorang ibu mendoakan kebahagiaan anak. Lebih-lebih lagi Marissa kini berstatus janda dan berhak memilih jalan hidup sendiri. Soal berkawan atau mencari pengganti bukan isu kerana itu hak mutlak wanita dewasa.
Namun, apa yang mengundang tanda tanya adalah keghairahan Abby yang gemar menceritakan hampir setiap perkembangan anaknya kepada umum.
Baru berkawan, sudah diperkenalkan kepada khalayak. Baru timbul spekulasi, terus dijawab satu demi satu. Seolah-olah ada keperluan membuktikan sesuatu kepada orang ramai.
Persoalannya, hendak membuktikan apa?
Selepas segala episod panas melibatkan Marissa dan bekas suaminya, bukankah lebih manis jika kebahagiaan baharu disimpan seketika? Tidak semua perkara perlu dijadikan kandungan media sosial. Ada waktunya, diam jauh lebih baik daripada seribu penjelasan.
Lebih membimbangkan, bersikap terlalu terbuka mengundang lebih banyak ruang untuk netizen menghakimi. Hari ini dipuji, esok lusa belum tentu. Sokongan boleh bertukar menjadi rasa jemu dalam sekelip mata.
Cukuplah kisah keluarga Abby menjadi tatapan umum. Simpan sedikit ruang privasi buat diri dan anak-anak. Marissa pernah melalui episod hitam, tidak perlulah setiap helaian baharu yang belum ada kepastian dibuka untuk tatapan khalayak.
Mudah-mudahan kisah ini menjadi pengajaran buat semua. Bahagia tidak memerlukan pengesahan netizen, apatah lagi tepukan media sosial. Ada nikmatnya apabila sesuatu disimpan sehingga benar-benar pasti.
Orang ramai tidak pernah lokek mendoakan kebahagiaan Abby, Marissa, Munir waima Aslam sekalipun. Cuma harapannya satu, biarlah sinetron ratusan episod krisis keluarga ini berakhir dengan kebaikan.
