‘Saya takkan lagi mengangguk, perkara disuruh dalam skrip’

PENGALAMAN pernah dikenakan tindakan undang-undang susulan melakonkan adegan panas dalam sebuah drama membuatkan aktor Zul Ariffin lebih berhati-hati sebelum melakukan sesebuah babak dalam mana-mana naskhah.

Zul, 40, berkata, setiap pelakon perlu berani menyuarakan pandangan dan memahami konsep kerjasama dengan pihak produksi, terutama melibatkan babak yang berpotensi mencetuskan kontroversi serta mengundang kecaman umum.

“Saya sudah melalui perkara itu dan tidak akan lagi hanya menurut atau mengangguk terhadap sahaja setiap perkara yang disuruh dalam skrip.

“Sebagai pelakon, kita perlu faham erti kerjasama. Kalau tidak, akan jadi dungu dan hanya menurut kerana jika sesuatu berlaku, akhirnya hanya kita yang akan dipersalahkan.

“Saya belajar daripada pengalaman dengan cara yang sukar dan sebab itu perlu berhati-hati. Sejujurnya, perkara itu tidak berbaloi kerana ini hanya kerja saja, bukannya soal hidup atau mati,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama UTV, Takdirnya Cinta di sini, semalam.

Dalam pada itu, Zul berkata, dia tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak malah kejadian tersebut menjadi antara pengajaran terbesar sebagai anak seni.

“Saya tiada pilihan lain dan perlu minta maaf. Jadi, saya nak tutup benda itu dan teruskan hidup.

Bukan nak menuding kepada mana-mana pihak tetapi kalau perkara itu terjadi lagi pada masa hadapan, begitulah yang akan berulang lagi,” katanya lagi.

Berkongsi pandangan mengenai sebuah drama tempatan yang perlu disunting semula susulan dakwaan mengandungi babak sensitif, dia menyambut baik tindakan tersebut namun berharap perkara tersebut tidak dilakukan secara bermusim.

“Baguslah kalau ada tindakan walaupun banyak juga perkara sama terjadi sebelum ini tetap tidak ada tindakan pun.

“Mungkin tindakan itu diambil secara bermusim atau mengikut orang tertentu, tetapi saya tidak pasti. Saya cuma cakap saja, berdasarkan pemerhatian sendiri,” jelasnya.

Dia juga meminta orang ramai tidak kira golongan selebriti atau pendakwa menyalurkan rasa ketidakpuashatian terhadap kandungan sesebuah naskhah kepada saluran dan pihak yang sepatutnya berbanding mengecam secara berlebih-lebihan dalam media sosial.

“Saya tak tahu kenapa sekarang, orang suka buat aduan dalam media sosial tentang macam-macam perkara. Media sosial bukan pihak berkuasa.

“Kalau dipersalahkan atau dikecam, terima saja tetapi mereka memilih untuk sembang dalam media sosial.

“Bukan boleh buat apa pun dalam itu sebaliknya hanya akan ditertawakan dan dipersalahkan dalam platform tersebut,” katanya.

Dia juga menyifatkan segelintir pihak yang gemar mengecam dalam mana-mana isu dalam media sosial sebagai individu yang dahagakan perhatian.

“Pengajarannya, jangan banyak ‘merengek’ dalam media sosial. Kalau nak selesaikan sesuatu isu, buatlah menerusi saluran yang betul.

“Kalau nak bercakap banyak tentang pelbagai isu, saya rasa media sosial bukan platform penyelesaian yang sepatutnya.

“Namun mungkin mereka memang sukakan perhatian,” katanya lagi.

Terdahulu, Zul pernah mencetuskan kontroversi pada 2022 apabila memuat naik sedutan babak sebuah drama bersiri, Perempuan Itu yang dianggap keterlaluan sehingga mengundang kecaman ramai.

Dia kemudiannya didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pada 4 Oktober 2022 atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada Mac lalu.

Baru-baru ini, platform penstriman iQIYI pula menurunkan sementara enam episod drama Madu atau Racun manakala baki episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod disunting dan dinilai semula susulan kontroversi kandungannya kerana dikatakan menyelitkan elemen hubungan songsang (LGBT). – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok