‘Menyanyi, saya cuti dulu walaupun kawan semua buat konsert’

MAHU fokus mendalami ilmu agama, penyanyi juga pelakon Amy Mastura mengambil keputusan untuk berhenti atau merehatkan seketika karier nyanyiannya bagi menentukan semula hala tuju hidupnya.

Ujar Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 55, keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya lahir daripada keinginan untuk memperkukuh kefahaman agama dan memperbaiki diri.

“Dari segi nyanyian, saya bercuti buat masa ini. Saya nekad mahu belajar mengenai agama, mengumpulkan ilmu diperlukan dan selepas itu barulah saya lihat ke mana hala tuju saya.

“Memang ada rasa nak menyanyi lagi tetapi kerana Allah, saya ambil keputusan untuk ‘bercuti’ dulu, walaupun kawan-kawan semua buat konsert tapi saya dah berniat mencari ilmu agama.

“Mungkin kawan-kawan lain dah cukup ilmu, saya belum lagi jadi kenalah cari ilmu. Selama ini saya datang daripada latar belakang industri hiburan dan sentiasa menyanyi. Jadi sekarang masanya mendalami ilmu agama,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya sama ada pandangan bahawa suara wanita dikaitkan sebagai aurat menjadi antara faktor keputusan tersebut, pelantun lagu Sha Na Na itu mengakui perkara itu turut bermain dalam fikirannya, namun enggan menghuraikan isu berkenaan secara terperinci.

“Kalau nak kata suara itu aurat, lebih kurang begitulah sebabnya saya mengambil keputusan untuk tidak menyanyi buat masa ini. Bercuti menyanyi sahaja, berlakon tidak.

“Tetapi saya tidak berani mengulas lebih lanjut kerana bimbang disalah tafsir. Berilah peluang kepada saya untuk belajar sedikit demi sedikit,” ujarnya pada sidang media drama Ate Kome, I Love You, di sini, semalam.

Juara Asia Bagus 1993 itu turut mendedahkan sudah menolak beberapa tawaran persembahan termasuk konsert sepanjang tempoh berehat daripada bidang nyanyian.

“Ada persembahan di majlis-majlis yang saya tolak, termasuk konsert. Saya menolaknya dengan cara baik dan berharap mereka memahami keputusan saya.

“Kepada peminat yang merindui saya, bolehlah terus mendengar lagu-lagu saya di Spotify. Saya masih ada, tidak ke mana. Kalau rindu, kita masih boleh berjumpa dalam majlis atau pertemuan bersama kelab peminat,” jelasnya yang kini bergelar ‘hajah’ selepas menunaikan haji bersama suami dan keluarganya pada 2024.

Dalam perkembangan lain, Amy kini kembali menghiasi kaca televisyen menerusi drama romantik komedi Ate Kome, I Love You dengan membawakan watak Jenab, seorang ibu yang memerlukan dirinya bertutur sepenuhnya menggunakan loghat Perak.

“Dalam drama ini saya membawa watak seorang ibu. Ini kali pertama saya berlakon menggunakan loghat Perak yang pekat. Agak mencabar kerana walaupun berasal dari Perak, saya sudah lama menetap di luar negeri itu.

“Dialek saya sudah bercampur-campur. Mujur kru produksi banyak membantu mengingatkan saya semula cara pertuturan orang Perak. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Drama 12 episod yang turut dibintangi pelakon seperti Aniq Suhair, Bella Dowanna san Nurel Baharin itu kini ditayangkan menerusi platform penstriman Viu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok