Kenduri kahwin tak hormat ulama, Janna minta ampun dengan Ustaz Wadi

MENGAKU silap, pelakon popular Janna Nick membuat permohonan maaf secara peribadi kepada pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annur berhubung kontroversi majlis resepsi perkahwinannya tempoh hari.

Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Mune juga  meletakkan semua kesalahan dan kepincangan majlis perkahwinannya sehingga dikecam ramai atas kelalaian diri  sendiri.

“Saya minta maaf itu adalah kealpaan saya, saya sedar itu merupakan kelalaian dan kesalahan dari pihak saya yang mana majlis itu tidak sesuai dengan Ustaz Wadi.

“Ustaz Wadi pun sudah buat penjelasan daripada pihak dia, saya juga tidak mahu panjangkan isu ini.

JANNA ditemui media selepas tayangan filem Jemputan Ke Neraka lakonannya.

“Saya sangat menghormati Ustaz Wadi dan juga para ulama yang ada di Malaysia. Saya sebagai orang yang cetek ilmu sangat menghormati mereka semua.

“Kalau mahu bandingkan nama saya dengan dia sangat jauh beza. Saya rasa hina sangat kalau mahu panjangkan kontroversi ini,” ujar Janna.

Janna yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jemputan Ke Neraka sebentar tadi berharap orang ramai berhenti mengaitkan Ustaz Wadi dengannya.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk tidak lagi kaitkan nama Ustaz Wadi dengan saya. Saya juga telah membuat permohonan maaf secara peribadi dengan dia,” kata Janna.

Tambah Janna, dia sama sekali tidak menyangka kehadiran Ustaz Wadi atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub akan menimbulkan kontroversi.

“Tujuan saya menjemput Ustaz Wadi kerana malam sebelum hari pernikahan saya memintanya untuk mengetuai majlis doa selamat dan bacaan yassin.

JANNA sudahpun memohon maaf dapada Ustaz Wadi berhubung ‘kekecohan’ yang timbul susulan kehadiran ulama itu itu ke majlis perkahwinannya.

“Malam itu juga, dia ada menyampaikan ceramah bertajuk Memimpin Isi Rumah Ke Syurga. Disebabkan itu, Ustaz Wadi tahu ada undangan perkahwinan dan saya tidak tahu hukum dalam Islam kalau sudah jemput orang itu, wajib hadir.

“Semoga semua orang boleh hentikan isu ini dan tidak berlaku perbalahan. Niat saya hanya mahu mohon keberkatan daripada orang yang ilmunya tinggi untuk mendoakan perkahwinan saya,” jelas Janna.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila netizen meluahkan rasa segan melihat kehadiran agamawan ke majlis resepsi pasangan berkenaan.

Wadi Annuar yang duduk di barisan hadapan tetamu dalam majlis itu juga kelihatan janggal apabila perlu melihat pakaian pengantin serta tetamu yang hadir dalam keadaan seksi dan tidak menutup aurat.

Janna dan pelakon, Dini Schatzmann melangsungkan perkahwinan di sebuah resort terkemuka di Langkawi pada 10 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok