Kalau meninggal dunia awal, saya nak Lofa kahwin – PU Riz

PENDAKWAH selebriti, PU Riz menyatakan kesediaannya memberi restu kepada isteri tercinta yang juga selebriti terkenal, Neelofa berkahwin semula sekiranya dia meninggal dunia.

Kata Riz atau nama lengkapnya Haris Ismail, 31, urusan dunia seperti jodoh tidak lagi menjadi keutamaan apabila seseorang berada di alam barzakh.

“Kalau saya meninggal lebih awal, saya nak Lofa (Neelofa) kahwin. Sebab apa? Pertama sekali, kita ada kehidupan yang perlu dijawab di akhirat kelak sampai kita langsung takkan fikir fasal hal dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jadi daripada kita fikir sekarang ini pasangan nak kahwin lagi ke tidak. Teruskan (kahwin), bina ibadah, yang penting awak doakan saya selamat di akhirat.

“Soal dia nak nikah yang lain, kita doakan dia teruskan ibadah. Dengan didikan kita, kita suruh pasangan berkahwin demi ibadah dan menjaga diri, pahala akan mengalir untuk si mati,” katanya dalam Threads.

Mengambil inspirasi kisah Saidatina Ummu Salamah yang dikahwini Rasulullah, Riz berharap isterinya mencari pengganti yang mampu membimbing keluarga dengan lebih baik.

Saya sendiri cakap kalau esok-esok saya dah tiada, awak kahwinlah. Cari yang lebih ustaz daripada saya dan bina keluarga yang jauh lebih baik daripada apa yang kita bina sekarang.

“Masa suami Ummu Salamah meninggal, dia tertanya siapa orang yang lebih baik daripada suaminya yang bersusah-payah dan menjaganya. Akhirnya Rasulullah sendiri yang mengahwini Ummu Salamah,” kongsinya.

Tambahnya, perkahwinan tersebut juga berpotensi untuk mendidik anak-anak mengaji al-Quran dan ilmu agama, sekali gus memberi ganjaran pahala yang banyak kepada arwah bapa.

“Kita pun kalau sudah tiada nanti, tentu kita nak isteri dapat berkahwin dengan orang yang lebih baik daripada kita.

Mungkin anak-anak kita yang asbab perkahwinan baharu itu, suami itu ajar anak kita mengaji al-Quran dan ilmu agama. Bukankah kita sebagai arwah bapa turut memperoleh pahala yang banyak,” jelasnya.

Untuk rekod, Riz dan Neelofa mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.

Pasangan itu juga kini sedang menanti kelahiran anak ketiga mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok