‘Saya cuma cadangkan dia buat konten dengan ayah’

PENYANYI Zaki Yamani menafikan dakwaan hubungannya dengan abang, Osama Yamani dingin susulan kenyataannya mengenai usaha membina kerjaya sendiri yang sebelum ini mencetuskan salah faham.

Menurut pemilik nama penuh Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, perkara tersebut tidak pernah menjejaskan hubungan mereka bahkan Osama turut menghubunginya untuk meleraikan sebarang salah faham disebabkan kenyataan itu.

“Dia mesej saya dan minta maaf selain beritahu akan selalu menyokong serta meminta saya terus berusaha.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa dia salah faham dengan apa yang saya maksudkan. Saya kata, ‘ini mesti tengok yang ini? (kenyataannya dalam sebuah artikel)’.

“Selepas itu dia gelak dan minta maaf. Jadi, kami tidak ada apa-apa masalah sebenarnya,” katanya ketika ditemui pada acara Meet & Greet calon Anugerah Melodi Terhangat 2026, semalam.

Tambahnya, salah faham tersebut berlaku kerana Osama difahamkan tidak membaca keseluruhan kenyataannya dan terus memberikan reaksi.

“Mungkin pada awalnya abang saya tidak baca keseluruhan artikel, sebab itu dia salah faham. Bila sudah baca, barulah dia faham perkara yang saya maksudkan.

“Tapi tak mengapa dan itu pentingnya kita selidik dahulu sebelum meluahkan apa-apa.

“Apa pun, hubungan saya dengan abang okey saja. Sekarang pun kami baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia menjelaskan kenyataannya sebelum ini lebih kepada cadangan supaya Osama berusaha menghasilkan konten media sosial sendiri sekiranya mahu mengembangkan kerjaya dalam bidang tersebut.

“Saya pun berusaha menghasilkan kandungan sendiri. Kalau ada masa dengan ayah, saya akan lakukannya bersama contohnya suruh dia menari atau buat perkara menghiburkan.

“Bukan maksud saya menggunakan ayah. Itu sekadar kandungan menghiburkan orang, bukan untuk kerjaya. Kandungan dan kerjaya adalah dua perkara berbeza,” jelasnya.

Dia juga turut menjelaskan Osama mempunyai kelebihan dan peluang besar untuk membuat konten bersama Jamal kerana tinggal bersama.

“Dia ada kelebihan sebab dia tinggal bersama ayah sedangkan saya tidak. Jadi, saya kena fikir sendiri mengenai kandungan yang mahu dilakukan.

“Saya cuma cadangkan supaya dia cuba buat kandungan dengan ayah. Kalau tidak mahu, dia boleh fikir sendiri konten yang lebih menarik.

“Itu cuma cadangan. Nak ikut atau tidak, terpulang kepada dia untuk terus berusaha, saya sentiasa akan sokong,” kongsinya.

Terdahulu, Zaki dalam satu laporan media berharap Osama lebih rajin memanfaatkan peluang dengan menghasilkan lebih banyak kandungan digital bagi mengukuhkan nama dalam bidang seni.

Dia bahkan sering menitipkan pesanan kepada Osama supaya tidak melepaskan peluang sekiranya berkesempatan menghasilkan kandungan bersama Jamal.

Perkara itu bagaimanapun dipercayai mencetuskan salah faham apabila Osama memuat naik hantaran Threads yang menegaskan mahu membina nama sendiri dan enggan dibayangi atau dikenali disebabkan bapa mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok