‘Paling penting, orang kita pilih sebagai pasangan pandai menjaga kita’

PELAKON Diana Danielle mengakui perspektifnya mengenai pasangan hidup kini jauh berbeza berbanding ketika masih muda, terutama selepas melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan.

Ujar Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, faktor utama dalam memilih pasangan bukan lagi sekadar penampilan atau ciri luaran, sebaliknya kemampuan seseorang memikul tanggungjawab serta memahami rentak kehidupan bersama.

“Paling penting, orang kita pilih sebagai pasangan pandai menjaga kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika muda dahulu, senarai kriteria kita mungkin berbeza. Sekarang saya sedar, dalam hubungan berpasangan perkara paling utama ialah tanggungjawab dan usaha.

“Pasangan perlu rajin serta mampu berfikir secara kritis,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang filem Imaginur itu, keserasian turut memainkan peranan penting kerana setiap individu mempunyai keperluan dan rentak kehidupan berbeza.

“Saya ulangi, paling penting ialah bertanggungjawab. Pandai, bukan tolol. Kita sendiri tahu siapa paling sesuai dengan diri kita, termasuk seseorang mampu mengikut rentak kita.

“Perkara lain hanya nilai tambah serta sesuatu untuk disyukuri. Soal orang lain mahu menerima pilihan kita atau tidak, itu belakang kira,” tegasnya.

Pandangan Diana mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, terutama selepas dia semakin terbuka berkongsi pandangan mengenai soal pasangan dan kehidupan berumah tangga.

Sebahagian netizen menyokong pendiriannya, namun terdapat juga segelintir pihak kurang senang melihat ibu dua anak itu kerap bercakap mengenai soal pasangan hidup, sedangkan sehingga kini belum ada pengumuman rasmi mengenai perkahwinannya.

Baru-baru ini, Diana memaklumkan akan berkongsi berita gembira sekiranya tiba masa mendirikan rumah tangga bersama Bern, seorang ahli perniagaan dikenali sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, kisah percintaan Diana dan Bern melalui fasa perpisahan apabila pelakon itu mengesahkan hubungan mereka sudah berakhir.

Ibarat bunga cinta baru sahaja menguntum, namun belum sempat berkembang mekar, hubungan berkenaan kembali mencuri perhatian apabila Diana dan Bern dilihat meluangkan masa bersama serta kerap berkongsi momen berdua dalam media sosial.

Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad serta Nur Aurora.

Pasangan itu pernah bercerai secara dalam talian pada 10 Ogos 2023 sebelum kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua menerusi talak satu pada 23 Mac 2025. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok