PELAKON Amyza Aznan mendedahkan anaknya, Adrian Adam yang sedang berjuang melawan kanser tulang sering merahsiakan kesakitan yang ditanggung.
Menurut Amyza, 49, naluri sebagai seorang ibu sangat kuat apabila dia sering menyedari anaknya menangis menahan derita tanpa mahu disedari sesiapa.
“Dia tak ada kongsi apa-apa, dia cuma cakap ‘Bila nak kecut? Berapa lama lagi?’ Disebabkan benda itu besar sangat, dia memang selalu cakap sakit.
“Kita ibu kan, Allah pasti akan gerakkan macam mana pun. Banyak kali saya buka pintu bilik, dia tengah menangis.
“Dua minggu lepas, saya nak ambil kad. Dia seorang diri, tengah tekup muka dengan bantal dan menangis.
“Dia tak nak saya tahu dia tengah sakit tapi Ian, awak salah, saya ini mak tau. Macam mana pun awak sorok, Allah pasti gerakkan,” katanya kepada HibGlam usai sidang media program Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES2026), kelmarin.
Dalam masa sama, pelakon drama Anugerah Tanpa Cahaya itu memaklumkan anaknya kini sedang menjalani rawatan kimoterapi bagi mengecutkan ketumbuhan di kaki.
“Sekarang ini dia tengah kimoterapi, ada perjalanan yang panjang lagi masa. Banyak lagi kitaran yang dia kena lalui.
“Jadi saya harap kimoterapi ini memang berhasil untuk dia kecilkan dan hilangkan tumor,” katanya lagi.
Ditanya mengenai karier nyanyian, Amyza mendedahkan anaknya mempunyai hasrat besar untuk membuat persembahan bersamanya di pentas akhir KES2026, namun terpaksa melupakan impian tersebut akibat kekangan kesihatan.
“Dia bukan berhenti menyanyi, tetapi disebabkan saiz tumor dia yang besar itu menyusahkan dan menyakitkan dia. Itu yang dia tak nak buat apa-apa.
“Dia memang berharap benda itu kecut. Sebenarnya ketika persemabahan filem, dia dalam senarai nama penyanyi yang akan berduet dengan saya.
“Tapi itulah dia cakap ‘Mami kalau benda ini kecut sebelum final, dia akan buat persembahan’. Allah kata lain, jadi tiadalah,” ujarnya.
Pada Februari lalu, anak kedua Amyza itu disahkan menghidap kanser tulang dan sedang menjalani rawatan alternatif bagi mendepani penyakit berkenaan.
Prihatin dengan nasib dua beranak itu, pengacara, Datuk Aznil Nawawi berjaya mengumpulkan sumbangan daripada orang ramai berjumlah RM200,000 baru-baru ini bagi membantu membiayai kos perubatan Adrian.
Sebelum ini, anak sulung Amyza, Andre Mikhail meninggal dunia pada 23 Februari akibat kanser paru-paru. – HIBGLAM

