“BILA Faizal Tahir masuk dalam industri, saya dah boleh relaks.”
Itu kenyataan penyanyi dan komposer terkenal, Datuk M. Nasir sewaktu menjadi artis jemputan di Konsert Suara Rakyat Faizal Tahir yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil, hujung minggu lalu.
Kedua-dua figura yang terkenal sebagai penyanyi dan komposer hebat itu menghiburkan penonton dengan lagu duet mereka, Campak Bintang.
Faizal sempat mengimbau semula detik pertemuannya buat pertama kali dengan M.Nasir hampir dua dekad lalu.
“Saya masih ingat kali pertama bertemu dengan beliau. Beliau tak kenal saya. Beliau tanya siapa nama saya. Saya beritahu nama saya Faizal Tahir.
Kemudian dia suruh saya tukar nama. Katanya nama saya macam ustaz,” kongsinya sekali gus mengundang tawa seluruh penonton dalam arena.
Gelagat Faizal dan M.Nasir di atas pentas turut mencuit hati penonton dengan perbualan mereka yang lucu.
Faizal juga sempat meluahkan hasratnya untuk mengadakan konsert bersama M.Nasir satu hari nanti.
Selain M. Nasir, Faizal turut mengundang kumpulan nasyid, Mirwana yang pernah dianggotainya 20 tahun lalu sebelum bergerak sebagai penyanyi solo.
Dalam konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu, Faizal menghiburkan 10,000 peminatya dengan rangkaian lagu hit sepanjang kariernya.
Antara lagu yang dipersembahkan adalah Coba, Hanyut, Sampai Syurga, Mahakarya Cinta, Gemuruh dan Negaraku. – HIBGLAM

