PELAKON dan pengacara, Uyaina Arshad mengakui terkejut melihat isu keganasan dalam kalangan pelajar yang kian membimbangkan sekali gus mengingatkan dirinya tentang tanggungjawab besar ibu bapa dalam membentuk peribadi anak-anak.
Ujar Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, sebagai ibu kepada tiga cahaya mata lelaki, kebimbangan terhadap keselamatan anak bukan hanya tertumpu kepada kemungkinan mereka menjadi mangsa, malah turut melibatkan persoalan lebih besar mengenai nilai serta akhlak anak ketika berdepan orang lain.
“Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki, saya takut. Bukan sahaja takut jika sesuatu berlaku kepada anak-anak saya, tetapi saya juga takut memikirkan sama ada saya sedang membesarkan anak lelaki yang tahu menjaga diri dan tidak memudaratkan orang lain.
Tanggungjawab kita sebagai ibu bapa bukan sekadar memastikan anak pandai dan berjaya. Kita juga perlu membesarkan anak supaya memahami kekuatan bukan lesen untuk menyakiti orang lain.
“Bagaimana mahu membesarkan anak dengan empati? Anak perlu tahu menghormati, mengawal kemarahan dan tidak melenting di luar kawalan apabila berdepan penolakan,” katanya dalam Instagram.
Tambah pelakon drama Love Elsa itu, persoalan mengenai keselamatan anak-anak perlu dilihat daripada sudut lebih luas, bukan hanya memikirkan cara melindungi mereka daripada menjadi mangsa.
“Mungkin kita bukan hanya patut bertanya, ‘Bagaimana mahu pastikan anak kita tidak menjadi mangsa?’
Sebaliknya, kita perlu mula bertanya, ‘Bagaimana mahu pastikan anak kita tidak menjadi orang yang memangsakan orang lain?’
“Biasanya sekolah dan guru sering dipersalahkan apabila berlaku sesuatu di kawasan sekolah. Namun, perkara ini bukan tanggungjawab sekolah semata-mata,” ujarnya.
Paling penting tegasnya, usaha membentuk generasi lebih berempati memerlukan kerjasama ibu bapa, sekolah dan masyarakat secara menyeluruh.
“Ini tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan masyarakat secara keseluruhan. Seperti kata pepatah, untuk membesarkan seorang anak memerlukan seluruh komuniti.
Saya rasa kita perlu mula bercakap dengan anak-anak mengenai perkara besar, bukan menunggu mereka dewasa. Bercakap tentang empati, kemarahan, kuasa, hormat, buli, undang-undang serta hakikat setiap tindakan salah pasti ada akibatnya.
“Rumah membentuk anak, sekolah membentuk persekitaran dan masyarakat membentuk generasi seterusnya. Semoga kita semua mula bertindak,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Uyaina turut menitipkan ucapan takziah kepada keluarga serta insan terdekat Allahyarhamah Irene Sofiya, selain berharap keadilan dapat ditegakkan.
Irene Sofiya, salam takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat serta mereka yang mengenali arwah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan syurga menjadi tempat abadinya.
“Semoga keadilan dapat ditegakkan,” tambahnya.
Sebelum ini, pada 3 Oktober lalu, seorang pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemui meninggal dunia di dalam dewan sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat selepas sekitar pukul 5.30 petang.
Mangsa dilaporkan ditemui di bawah pentas dewan dengan kecederaan parah pada muka dan badan selepas dipercayai dipukul menggunakan objek keras.
Kejadian itu disedari nenek serta rakan mangsa selepas remaja berkenaan tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi kelas tambahan.
Siasatan awal polis dilaporkan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, termasuk dakwaan berkaitan isu cinta tidak berbalas selepas mangsa dikatakan menolak perasaan suspek bagi memberikan tumpuan terhadap pelajaran. – HIBGLAM

