MASIH menjalani latihan ketenteraan, anggota kumpulan BTS, Taehyung melepaskan rindunya kepada peminat dengan menulis sepucuk surat istimewa.
Dalam surat berkenaan, idola berusia 28 tahun itu memberitahu peminat tentang aktiviti dan perkara yang dilakukannya ketika berada di kem ketenteraan itu.
“Hai! Saya rindu kalian! Adakah semua orang sihat? Saya di sini makan dengan baik dan tidur lena, hidup sihat sambil berlatih. Saya menerima ulasan yang baik daripada tentera senior.
“Saya juga menerima pujian, komander kami sering mengatakan bahawa askar unit kami bekerja dengan baik tanpa banyak masalah. Saya kini telah menjadi sarjan platun dan walaupun jawatan itu datang dengan sedikit tekanan, saya sangat teruja.
“Saya dalam keadaan baik-baik saja. Saya harap semua sihat dan tidak sakit. Apabila kita bertemu lagi selepas ini, mari kita hargai dan nikmati setiap saat yang kita tunggu itu.
Ahli BTS itu kini berkhidmat sebagai anggota khas unit polis tentera di Kor Tentera Ke-2 di Chuncheon.