5 bintang jelita celik aset hartanah

DUNIA hiburan Korea Selatan bukan sahaja menyaksikan lonjakan populariti, malah kejayaan kewangan barisan bintang popular kini diterjemahkan secara nyata dalam pasaran hartanah bernilai tinggi.

Trend pelaburan dalam kalangan selebriti K-pop dan pelakon gred A terus menunjukkan impak luar biasa.

Keberanian mereka memanipulasi pasaran hartanah berprestij di kawasan strategik membuktikan bahawa golongan anak seni bukan sahaja hebat di pentas hiburan.

Malah, mereka bijak mengukuhkan empayar kekayaan mereka sebagai pelabur hartanah yang berwawasan.

HibGlam kali ini menyenaraikan lima wanita cantik yang berjaya melaburkan duit bagi mengukuhkan kedudukan serta kestabilan ekonomi masing-masing dalam jangka masa panjang.

Jun Ji-hyun


PELAKON terkemuka, Jun Ji-hyun, dilaporkan membeli dua buah bangunan di kawasan tumpuan popular Atelier-gil, Seoul dengan nilai keseluruhan mencecah 46.8 bilion won (RM145.6 juta).

Dokumen hartanah menunjukkan sebuah bangunan lima tingkat bereluaskan 1,042 meter persegi di daerah Seongsu dibeli pada September lalu dengan harga 18.6 bilion won (RM57.8 juta).

Pemilik nama lengkap Wang Ji-hyun itu turut membeli sebuah lagi bangunan tiga tingkat berkeluasan 1,129 meter persegi di kawasan yang sama bernilai 26 bilion won (RM80.6 juta), serta plot tanah seluas 50 meter persegi di antara kedua-dua bangunan tersebut pada harga 2.2 bilion won (RM6.7 juta).

Bagi urus niaga tersebut, pinjaman gadai janji sebanyak 33.6 bilion won (RM104.4 juta) diambil, dengan jumlah anggaran pinjaman asal sekitar 28 bilion won (RM86.9 juta).

Pelakon drama popular The Legend Of The Blue Sea itu melengkapkan bayaran dan memindahkan hak milik secara rasmi atas namanya pada 23 Februari.

Ha Ji-won


PELAKON Ha Ji-won dilaporkan meraih keuntungan besar hasil penjualan hartanahnya yang terletak di kawasan popular Sungsu-dong, Seoul.

Pemilik nama sebenar Jeon Hae-rim itu bersama agensinya, Haewadal Entertainment menjual hartanah berkenaan pada harga 18.5 bilion won (kira-kira RM63 juta), selepas membeli bangunan tersebut pada Mac 2020 dengan harga 10 bilion won (kira-kira RM30.5 juta).

Sewaktu membeli bangunan tersebut tiga tahun selepas pembinaannya disiapkan, wanita berusia 48 tahun itu mengeluarkan pelaburan tunai sebanyak 3.1 bilion won (anggaran sekitar RM10.54 juta) dan mengambil pinjaman sekitar 7.5 bilion won (kira-kira RM25.5 juta).

Selepas memegang pemilikan hartanah tersebut selama lima tahun lapan bulan, dia berjaya memperoleh keuntungan modal mencecah 8.5 bilion won (anggaran RM28.9 juta) serta keuntungan bersih sebanyak 7 bilion won (kira-kira RM21.1 juta).

Jennie Blackpink

 


MENJADI antara pencapaian pelaburan diraih tahun 2026, media Korea melaporkan bahawa penyanyi Jennie membeli sebuah bangunan di Yongsan dengan nilai sebanyak 20 bilion won (kira-kira RM61 juta) secara tunai.

Laporan tersebut mendedahkan bahawa penyanyi berusia 30 tahun itu menandatangani kontrak pembelian pada Mei tahun lalu sebelum melengkapkan proses pemindahan hak milik pada Disember, tanpa melibatkan sebarang pinjaman perumahan atau gadai janji.

Ini bukanlah kali pertama pelantun lagu Mantra itu membuat pembelian hartanah bernilai tinggi secara tunai.

Pada Julai 2023, dia pernah membeli sebuah vila mewah bernilai AS$3.4 juta (RM15.2 juta) di UN Village, Hannam dengan kaedah pembayaran yang sama.

Nampaknya, penglibatan ahli Blackpink itu dalam arena pelaburan hartanah masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

Kim Tae-hee


MEDIA Korea melaporkan bahawa pelakon Kim Tae-hee menjual satu unit kediaman seluas 233 meter persegi di kondominium mewah Hannam The Hill, Seoul pada harga 12.8 bilion won (RM40 juta) November tahun lalu.

 

Menerusi penjualan itu, dia berjaya mengaut keuntungan bersih sebanyak 8.5 bilion won (RM27 juta) selepas memilikinya selama tujuh tahun.

Laporan mendapati pelakon drama Hi Bye, Mama! itu pada awalnya membeli hartanah tersebut pada Ogos 2018 dengan harga 4.23 bilion won (RM13.4 juta) secara tunai.

Hannam The Hill merupakan kompleks kediaman ultra-mewah yang dibangunkan pada tahun 2011 di bekas tapak Universiti Dankook di Hannam-dong, merangkumi 32 buah bangunan dan 600 unit kediaman.

Kompleks tersebut terkenal sebagai kediaman pilihan ramai selebriti terkemuka termasuk ahli kumpulan BTS iaitu RM dan Jimin.

Hyeri

PENYANYI Hyeri daripada kumpulan Girl’s Day, turut menyertai barisan bintang Korea yang melabur jutaan ringgit dalam pasaran hartanah.

Bagaimanapun, timbul desas-desus yang mendakwa Hyeri atau nama sebenarnya Lee Hye-ri itu mahu menjual hartanahnya pada harga tinggi, namun laporan tersebut dinafikan pihak agensinya.

Spekulasi terdahulu mendakwa wanita berusia 32 tahun itu meletakkan hartanahnya di Seoul yang dibeli pada Ogos 2022 dengan harga 7.75 bilion won (RM23.3 juta) ke pasaran untuk dijual pada harga 14.5 bilion won (RM44 juta) bulan lalu.

Sebaliknya, dia merobohkan bangunan lama di tapak tersebut dan membina bangunan baharu setinggi enam tingkat di atas tanah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok