Selesa membujang, 5 bintang terkenal tolak berumah tangga

ALAM perkahwinan sering dianggap sebagai fasa bahagia yang dinantikan ramai.

Namun bagi sesetengah selebriti, memilih untuk hidup membujang adalah satu keputusan peribadi yang selesa.

Meniti usia matang dalam dunia hiburan yang penuh cabaran, deretan bintang terkenal Korea Selatan ini mempunyai alasan tersendiri mengenai institusi perkahwinan yang membuktikan kebahagiaan hidup tidak hanya diukur pada status berumah tangga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Minggu ini, HibGlam merangkumkan barisan bintang Korea Selatan yang masih solo yang tiada niat untuk berkahwin.

Han So-Hee

AKTRES jelita Han So-hee yang pernah membintangi drama fenomena The World of the Married mendedahkan bahawa naskhah terbabit secara tidak langsung mengubah pandangannya terhadap perkahwinan.

Membawa watak yang berdepan konflik rumah tangga yang parah, So-hee atau nama sebenarnya Lee So-hee mengaku trauma dan hilang kepercayaan selepas mendalaminya.

Proses keluarga yang berantakan menimbulkan rasa cemas dalam drama tersebut membuatkan dirinya enggan berfikir soal perkahwinan, selain turut memberi tekanan mental yang sama kepada rakan-rakan sekelilingnya.

Bagaimanapun, dia berkongsi dalam sebuah temu bual dengan media baru-baru ini mengenai harapannya untuk mendirikan rumah tangga sebelum berusia 40 tahun.

Sunny

HAMPIR 20 tahun berkecimpung dalam industri hiburan bersama kumpulan SNSD, Sunny pernah mendedahkan pendiriannya yang konsisten untuk tidak mendirikan rumah tangga.

Dalam sebuah rancangan, pemilik nama lengkap Susan Soonkyu Lee itu menyatakan gambaran masa depannya adalah sebagai wanita yang hidup seorang diri dengan penuh bergaya.

Malah, ketika tampil dalam sebuah program, wanita berusia 37 tahun itu menegaskan tidak merasakan ada titik dalam hidupnya di mana keinginan untuk berkahwin akan timbul.

Oh Na-Ra

BAGI aktres yang turut membintangi program realiti The Sixth Sense, Oh Na-ra, ketiadaan ikatan perkahwinan bukanlah satu halangan untuk membina hubungan cinta yang utuh.

Meskipun belum bernikah, Na-ra dan kekasih hatinya, Kim Do-hoon menjalin hubungan cinta yang setia selama 25 tahun.

Dalam sebuah temu bual, wanita berusia 51 tahun itu mendedahkan dia sudah menganggap kekasihnya itu seperti keluarga sendiri.

Baginya, mereka tidak perlu merisaukan soal perkahwinan memandangkan kedua-duanya terlalu sibuk mengejar impian kerjaya masing-masing.

Kim Heechul

ANGGOTA kumpulan Super Junior, Kim Heechul beberapa kali menyatakan pendiriannya yang tidak berminat untuk mendirikan rumah tangga walaupun sering dihujani desakan daripada ibunya sendiri.

Malah, keengganan lelaki berusia 43 tahun itu untuk berkahwin pernah membuatkan ibunya tertekan terutamanya ketika dia menjalin hubungan sebelum ini.

Meskipun pernah berseloroh mahu berkahwin pada tahun 2023, peminat menganggap kenyataan tersebut sekadar gurauan semata-mata memandangkan pendirian mahu solo kekal utuh.

Wonho

BEKAS anggota kumpulan Monsta X, Wonho dikenali kerana ketegasannya untuk terus membujang.

Pemilik nama sebenar Lee Ho-seok itu secara terbuka pernah menyatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang keterujaan terhadap perkahwinan.

Tambah penyanyi berusia 33 tahun itu lagi, dia juga tidak berasa bimbang mengenai pewaris keturunan keluarga kerana mempunyai seorang adik lelaki yang boleh diharap. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok