Bapa contoh, aktor sanggup ‘hiatus’ demi anak

LAZIMnya golongan wanita yang akan mengundur diri daripada karier apabila bergelar ibu. Zaman berubah, kini seorang bapa juga mampu mengambil langkah serupa, tanda kasih dan sayang buat keluarga.

Ada yang sanggup meninggalkan karier bertahun-tahun, tidak kurang juga memilih berehat seketika daripada penggambaran bagi membantu isteri melalui fasa selepas bersalin.

Bagi mereka, menjadi bapa bukan hanya menyumbang nafkah malah kehadiran fizikal, menemani tumbesaran anak dan berkongsi detik kecil dalam kehidupan keluarga turut menjadi amanah.

Mereka enggan tugas mengurus anak dipikul seorang isteri, lantas memilih memperlahankan rentak kerjaya apabila keluarga memerlukan perhatian.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa aktor Korea Selatan yang sanggup mengetepikan seketika dunia seni demi menjadi bapa ‘berguna’, sekali gus membuktikan betapa tanggungjawab tidak mampu dikalahkan kemilau populariti.

Jo Jung-suk

KELAHIRAN cahaya mata kedua bersama penyanyi Gummy pada 14 Januari 2026 membawa satu lagi lembaran baharu dalam kehidupan Jo Jung-suk.

Aktor berusia 45 tahun itu memilih memperlahankan aktiviti dalam media sosial, khususnya kandungan YouTube, demi menumpukan perhatian kepada keluarga.

Menerusi surat dikongsikan kepada peminat, Jung-suk memaklumkan akan berehat seketika daripada menghasilkan kandungan, namun dia berjanji untuk kembali dengan lebih banyak video menarik selepas selesai melunaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

Keputusan tersebut dibuat ketika Gummy melalui tempoh pemulihan selepas bersalin dan dia mahu berada di sisi isterinya serta membantu mengurus dua puteri mereka.

Langkah tersebut bukan pertama kali dilakukan. Ketika puteri pertama dilahirkan pada Ogos 2020, bintang Hospital Playlist itu turut mengosongkan jadual dan mengambil cuti panjang daripada projek lakonan besar bagi menikmati bulan-bulan awal tumbesaran anak.

Kesungguhan Jo Jung-suk terhadap peranan sebagai bapa turut mendapat perhatian di Korea Selatan apabila pendekatan mengambil cuti dilihat sebagai contoh positif peningkatan penyertaan golongan lelaki dalam soal penjagaan anak.

Lee Seung-gi

SELEPAS mendirikan rumah tangga bersama aktres Lee Da-in pada 2023, Lee Seung-gi memasuki fasa baharu sebagai seorang bapa apabila pasangan itu menyambut kelahiran puteri pertama pada Februari 2024.

Kehadiran cahaya mata mengubah perspektif hidup penyanyi dan aktor tersebut apabila lebih selektif dalam menerima tawaran kerja kerana enggan kesibukan kerjaya merampas masa penting bersama keluarga.

Kehidupan keluarga mereka kembali menjadi perhatian pada Februari 2026 apabila agensi mengesahkan Lee Da-in sedang mengandung anak kedua.

Meskipun tidak mengambil hiatus panjang seperti sesetengah aktor lain, pendekatan lelaki berusia 39 tahun itu memperlihatkan perubahan keutamaan selepas bergelar bapa.

Dia memilih kerja secara lebih berhati-hati supaya masih mempunyai ruang menyaksikan tumbesaran anak.

Populariti mungkin boleh dibina semula, namun zaman kanak-kanak tidak akan berulang dan itulah prinsip mula dipegang Seung-gi selepas bergelar bapa.

Song Il-kook


BINTANG drama Jumong, Song Il -kook pula memilih pengalaman berbeza apabila menghabiskan kira-kira setahun di Perancis bersama isteri dan tiga anak kembarnya selepas selesai membintangi muzikal God of Carnage pada 2017.

Tempoh setahun itu memberi peluang buat Il-kook menikmati kehidupan keluarga tanpa perlu berkejar dengan jadual penggambaran atau pentas.

Dia dapat menghabiskan masa bersama isteri dan anak-anak sepanjang hari, sesuatu sukar dilakukan ketika aktif dalam industri.

Sepanjang berada di Perancis, aktor berusia 54 tahun itu merasai pelbagai detik, daripada cabaran mengurus keluarga hingga kegembiraan menikmati 24 jam bersama insan tersayang.

Walaupun hiatus selama setahun boleh dianggap negatif buat seorang pelakon, Il-kook melihatnya dari sudut berbeza selain menyifatkan masa bersama keluarga memberi kesan positif terhadap dirinya sebagai manusia dan juga sebagai anak seni.

Selepas tempoh berehat, dia kembali ke pentas menerusi God of Carnage pada 2019 dengan watak sama malah pengalaman hidup bersama keluarga di Perancis turut membantu memperkayakan emosinya ketika menghidupkan karakter.

Kim Seung-hyun

KISAH Kim Seung-hyun jauh lebih berliku apabila aktor itu mengetahui kekasihnya hamil ketika baru memasuki tahun pertama pengajian di universiti.

Hasil hubungan tersebut, lahirlah seorang puteri bernama Soobin dan berita mengenai statusnya sebagai bapa muda memberi tamparan hebat terhadap karier.

Tawaran kerja mula menghilang kerana imejnya dianggap tidak lagi sesuai dengan rancangan televisyen berorientasikan remaja.

Seung-hyun kemudian melalui fasa ‘suram’ selama 15 tahun dan dalam tempoh tersebut, dia dipandang rendah sesetengah pihak, selain terpaksa berdepan kemerosotan populariti.

Namun, dia tidak pernah menyesali keputusan mengutamakan Soobin kerana baginya tanggungjawab membesarkan anak jauh lebih besar.

Selepas bertahun-tahun menyepi, pintu karier kembali terbuka menerusi kemunculan dalam program realiti Mr. House Husband malah anak kesayangannya itu turut muncul bersamanya.

Kehadiran mereka sebagai bapa dan anak bukan sahaja menghidupkan semula popularitinya, malah memperlihatkan sisi peribadi aktor berusia 45 tahun itu sebagai seorang bapa sanggup mengorbankan karier demi keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok