“KALAU sama-sama kita tolong, insya-Allah dapat meringankan beban sahabat saya.”
Itu rayuan vokalis Spider, Tam buat peminat ketika berucap kesempatan di pertengahan Konsert Spideraya di Idea Live Damansara, malam tadi, bagi membantu rakan seperjuangan, Andy Flop Poppy yang memerlukan lebih RM90,000 bagi kos pembedahan anaknya.
Tam atau nama sebenarnya, Rustam Mustafah, 53, berkata, keluarga Andy kini berdepan ujian besar apabila anaknya, Inaz, menghidap penyakit skoliosis serius dengan lengkungan tulang belakang mencecah kira-kira 48 darjah.
“Dia diberikan satu ujian dan memerlukan dana yang besar. Jadi dengan adanya anda di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk meringankan beban Andy membantu anaknya membuat operasi yang memerlukan lebih RM90,000,” luahnya dengan nada sayu.
Dalam pada itu, Tam mewakili anggota kumpulan Spider turut mengumumkan perancangan mengadakan sebuah persembahan amal bersama penyanyi otai, Nizam Laksamana sebagai kesinambungan usaha membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, program berkenaan akan memberi perhatian kepada pesakit kanser, pemuzik yang memerlukan bantuan serta individu lain yang berdepan kesukaran.
“Saya akan datang ini akan mengadakan persembahan show amal bersama Abang Nizam Laksamana.
“Kalau sesiapa yang berminat untuk bersama, kita nak pergi membantu pesakit kanser, pemuzik-pemuzik dan siapa-siapa sahaja yang memerlukan.
“Kita yang ada kuasa dan ada kudrat lagi ini, sama-sama kita bantu. Teruskan berdoa dan jangan berputus asa,” katanya.
Sementara itu, Konsert Spideraya berlangsung selama sekitar lebih dua jam menyaksikan Spider, band yang menyambut ulang tahun tiga dekad itu tampil bertenaga menghiburkan penonton mendendangkan 31 seleksi hits mereka.
Antaranya adalah Kacap Terlabik, Cinta Dewa Dewi, Phobia, Tapi Bagaimana, Nam Ho, Buat Sang Puteri, Mungkinkah Terjadi, Laukku Cukup Masin, Mabuk, Kasih Latifah, Aladin dan ditutup dengan Rela Ku Pujuk tepat pukul 11.35 malam.
Band yang ditubuhkan pada tahun 1996 itu membawa bersama nostalgia yang menjadikan gelanggang yang dipenuhi hampir 5,000 penonton itu turut dibuai emosi.
Persembahan tersebut turut diselitkan momen mengenang sahabat dan rakan seperjuangan yang sudah pergi termasuk komposer, Allahyarham Loloq menerusi lagu Permataku Suria.
Spider juga memberi penghormatan kepada rakan sekumpulan mereka, Allahyarham Tony Iskandar (bekas pemain bes) dan Napie (bekas pemain gitar) yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik band tersebut.
Konsert Spideraya bukan sahaja meraikan perjalanan Spider dalam industri muzik, malah menjadi platform buat Tam menyampaikan mesej kemanusiaan dan mengajak peminat membantu mereka yang sedang melalui ujian.
Persembahan selama dua jam itu diakhiri dengan sorakan hangat peminat yang kekal bersama band berpengaruh itu sepanjang 30 tahun mereka bersatu di arena muzik. – HIBGLAM

