KOMPOSER yang juga penyanyi kerohanian, Hafiz Hamidun meluahkan rasa segan dan terharu apabila Noraniza Idris menyamakan bakatnya dalam penciptaan lagu tradisional dengan maestro muzik, Allahyarham Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah.
Bagaimanapun, Hafiz, 42, menegaskan bahawa kedudukan Pak Ngah dalam industri muzik tempatan berada pada aras tersendiri dan tiada galang ganti.
“Saya sebenarnya segan, tak boleh bandingkanlah dengan arwah Pak Ngah. Dia pun idola saya.
“Bila saya kata lagu-lagu tradisional, memang Pak Ngah tak ada pengganti. Pada saya apa yang Kak Ani (Noraniza) katakan itu, saya rasa terharu sebab dia lebih mengenali Pak Ngah.
“Sejujurnya saya kenal Pak Ngah sekadar lagu saja. Saya tak pernah jumpa atau bekerja dengan dia,” katanya pada majlis pelancaran album terbaharunya, Salawat The Beloved.
Pada masa sama, pelantun lagu Kasih Padamu itu menyifatkan pandangan Noraniza sebagai satu penghormatan yang amat bermakna memandangkan penyanyi itu pernah bertahun-tahun bekerjasama dengan arwah Pak Ngah.
“Tapi saya ucapkan terima kasihlah bila Kak Ani, orang dah lama bekerja dengan Pak Ngah memberikan gambaran yang sedemikian.
“Saya harap bukan satu publisiti semata-mata sebab saya buatkan lagu akan datang untuk Kak Ani,” ujarnya.
Sebelum ini, Noraniza meluahkan keterujaan apabila berpeluang bekerjasama dengan Hafiz.
Dia juga memuji cara kerja Hafiz yang sama seperti arwah Pak Ngah kerana mempunyai jiwa Melayu yang sangat kuat. – HIBGLAM.
