DI sebalik hebohnya dunia K-pop, ada selebriti tetap berpaut erat pada tiang agama sebagai kompas kehidupan.
Populariti tidak menghalang mereka daripada menzahirkan kecintaan terhadap agama, malah pengaruh sebagai selebriti digunakan untuk menyebarkan mesej kerohanian, kebajikan dan kemanusiaan.
Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa bintang K-pop yang terkenal dengan pegangan agama masing-masing serta tidak segan menzahirkan sisi kerohanian kepada peminat.

DAESUNG
Daesung
BAGI penyanyi Daesung, agama bukan semata-mata anutan tetapi pernah menjadi tali penyelamat ketika hidupnya berada di titik paling gelap.
Pada 2011, idola berusia 37 tahun itu terlibat dalam kemalangan jalan raya tragis sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
Insiden tersebut meninggalkan tekanan emosi amat berat sehingga dia memilih mengasingkan diri daripada dunia luar.
Namun anggota kumpulan BigBang itu mengakui kepercayaan terhadap Tuhan menjadi antara faktor utama mendorongnya kembali bangkit.
Selepas kejadian tersebut, Daesung lebih banyak meluangkan masa di gereja malah dia dilaporkan aktif membantu kegiatan sukarela di Gereja Pyunggang atau Champyungan Church, termasuk kerja membina semula kemudahan kapel (ruang ibadah).
Ketaatan tersebut turut dibawa ketika menjalani latihan ketenteraan pada 2018. Beberapa foto tersebar memperlihatkan Daesung membaca Bible ketika menghadiri upacara keagamaan mingguan di gereja dalam kem tentera.

Manny
ANGGOTA anggota kumpulan VARSITY, Manny mencipta sejarah tersendiri dalam dunia K-pop apabila dikenali sebagai antara idola Muslim pertama dalam industri tersebut.
Identiti agamanya mula mendapat perhatian selepas pemilik nama sebenar Xiao Dongcheng itu secara terbuka berkongsi batas pemakanan sebagai seorang Muslim.
Dalam satu temu bual, Manny menjelaskan dia tidak boleh memakan babi atas faktor agama dan hanya memilih telur dadar atau ayam sebagai alternatif.
Perkara tersebut menjadi antara momen menarik perhatian peminat kerana idola berusia 24 tahun itu tidak berselindung mengenai pegangan agama walaupun berada dalam industri hiburan Korea Selatan.
Manny berasal dari China dan mempunyai latar belakang etnik Hui/Uighur, sebuah komuniti terkenal dengan majoriti penganut Islam.
Kecintaan Manny terhadap identiti agama turut dizahirkan menerusi media sosial.

BoA
BOA atau nama sebenarnya Kwon Bo-ah bukan sahaja memiliki empayar muzik luar biasa, malah terkenal dengan identiti Katolik cukup kuat.
Idola berusia 39 tahun itu menerima nama baptisan Chiara sempena Saint Clare of Assisi.
Nama tersebut terus menjadi sebahagian daripada identiti keagamaannya dan sering digunakan oleh komuniti gereja serta peminat.
Lebih istimewa, si cantik itu pernah menerima penghormatan bertemu Pope Francis secara peribadi. Pada Ogos 2014, sempena lawatan Pope Francis ke Korea Selatan bagi acara Asia Youth Day, BoA dipilih sebagai Duta Kehormat Asia Youth Day.
Dia kemudian menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Pope Francis di Universiti Katolik Daejeon bersama 20 wakil belia dari 17 negara Asia.
Pertemuan tersebut menjadi antara detik paling bersejarah dalam perjalanan keagamaannya.
Di sebalik status sebagai superstar antarabangsa, BoA turut aktif menyokong program kebajikan serta kempen anjuran Gereja Katolik Korea Selatan.

Choi Siwon
NAMA Choi Siwon cukup dikenali sebagai antara bintang K-pop paling terbuka mengenai pegangan agama.
Berbeza dengan sesetengah selebriti yang memilih menyimpan soal kepercayaan sebagai urusan peribadi, idola berusia 40 tahun itu tidak keberatan berkongsi mesej kerohanian kepada jutaan peminat.
Kecenderungan terhadap agama turut diterjemahkan melalui impian selepas bersara daripada dunia hiburan apabila ingin menjadi mubaligh apabila kerjaya seninya berakhir kelak.
Malah, kitab suci menjadi antara benda paling berharga buat Siwon selain kerap berkongsi ayat Bible kegemaran menerusi media sosial, termasuk Instagram dan X.
Tidak terhenti di situ, Siwon menggunakan bakat muzik untuk tujuan keagamaan apabila aktif bekerjasama dengan kumpulan muzik Kristian kontemporari Asia, 3rd Wave Music.
Menerusi projek tersebut, dia bukan sahaja menyampaikan karya berunsur ketuhanan, malah membantu mengumpul dana bagi tujuan kemanusiaan.

