PELAKON dan usahawan, Rozita Che Wan tidak pernah menganggap menantu sebagai orang luar, sebaliknya menyifatkan isteri kepada anaknya itu sebahagian daripada insan penting yang wajar disayangi sepenuh hati.
Rozita atau mesra disapa Che Ta, 53, berkata, sikap tidak lokek memberikan layanan baik terhadap menantunya, Auni Ikhwan banyak dipengaruhi pengalaman sendiri ketika awal bergelar isteri.
Akuinya, dia pernah beri layanan istimewa ketika masih menjadi isteri kepada bekas suami pertama sehingga tidak perlu melakukan kerja rumah setiap kali berkunjung ke kediaman keluarga mentua.
“Dulu saya ada pengalaman dengan bekas ibu mentua iaitu ketika kahwin dengan suami pertama. Memang baik orangnya.
Kalau kita tidur rumah dia, tak payah buat apa-apa. Semua pembantu rumah tolong. Dia cuma ajak duduk teman tengok televisyen sambil minum kopi. Malah, kalau dia nak kita datang rumah pun, dia tak cakap terus terang
“Dia akan cakap mama masak pulut tapi teringat Rozi. Secara tidak langsung kita fahamlah maksud dia. Rasa serba salah pula kalau tak datang, terus hidupkan enjin kereta,” ujarnya.
Lebih menarik, hubungan baik Che Ta dengan ibu mentuanya, Siti Aishah, 77, masih kekal sehingga hari ini meskipun tiada lagi ikatan antaranya dengan bekas suami.
Katanya, mereka masih berhubung selain merancang bertemu dalam satu majlis minum petang, semalam.
Masih baik. Kami ada minum petang. Dia jemputlah. Kita dilayan baik macam itu, jadi kita praktikkan pula perkara sama kepada orang lain,” katanya.
Mengulas pujian segelintir pihak yang menyifatkannya sebagai ibu mentua idaman, Che Ta berkata, kasih sayang terhadap menantu sewajarnya tidak berbeza dengan layanan diberikan kepada anak sendiri.
Bagi Che Ta, apabila seseorang ibu menyayangi anaknya, kasih sayang itu secara tidak langsung perlu turut diberikan kepada pasangan yang menjadi teman hidup anak berkenaan.
Menurutnya, menantu juga perlu diraikan kerana pendekatan sedemikian mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan tanpa membuatkan sesiapa berasa tersisih.
Saya rasa ramai mentua yang buat macam itu, cuma mungkin tidak dipamerkan. Macam kita sayang anak, sudah tentu kita sayang menantu. Mestilah kita buat semua benda,” katanya.
Terdahulu, pada Jun lalu, anak sulung Che Ta iaitu Ammar Effendy Azuar Effendy mendirikan rumah tangga dengan Auni Ikhwan. – HIBGLAM

