‘Saya sedia minta maaf’ – Tomok rayu Syuk muncul

VOKALIS kumpulan New Boyz, Tomok mengakui masih belum berputus asa menjejaki bekas pemain bes kumpulan itu, Mohd Shukri Mohd Shaharudin atau Syuk, menjelang konsert mereka yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini.

Menurut Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 40, dia sudah kira-kira 15 tahun terputus hubungan dengan Syuk selepas kali terakhir mereka bertemu sekitar 2009 atau 2010.

“Sebenarnya saya dah cuba menghubungi beliau, namun belum ada jawapan sampai hari ini. Saya cuba hubungi dan saya sendiri pergi ke kawasan rumahnya, tetapi tak jumpa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ada bercakap dengan ibunya dan keluarga ada berkongsi nombor telefon. Mereka maklumkan dia sibuk dan akan hubungi semula, tapi saya masih belum dapat bercakap dengannya secara terus,” katanya ketika ditemui di majlis ‘Kerana Dia Memanggil’ Perkongsian Perjalanan Haji Alumni Irkaz Travel bersama Lisa Surihani & Tomok, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tomok berkata, dia tertanya-tanya punca sebenar Syuk seakan-akan menjauhkan diri dan enggan menjawab panggilannya, sedangkan hubungan mereka sebelum ini dalam keadaan baik tanpa sebarang persengketaan.

“Saya pun tidak pasti kenapa dia menjauhkan diri. Kali terakhir jumpa dulu, hubungan kami baik-baik saja dan tiada masalah yang timbul.

“Mungkin ada salah faham yang berlaku tanpa saya sedar. Sebab itu saya mahu berjumpa sendiri dengannya. Kalau ada salah daripada pihak saya, saya sedia memohon maaf,” jelasnya.

Tambahnya kehadiran Syuk amat bermakna buat peminat kerana pemuzik itu sempat merakamkan dua album terawal New Boyz yang sarat dengan lagu-lagu hit sebelum posisinya digantikan Zack.

“Peminat memang mengharapkan kehadiran dia kerana empat konsert sebelum ini berlangsung tanpa Syuk. Jika dia ada, memori itu pasti lebih indah dan lengkap, apatah lagi jika dapat membawanya beraksi bersama di Singapura nanti.

“Saya lihat di media sosial dia masih menyanyikan lagu-lagu New Boyz, maknanya dia masih rindu. Ahli kumpulan lain yang pernah terserempak dengannya juga beritahu dia masih berminat,” jelasnya.

Bagaimanapun, Tomok menegaskan dia enggan meletakkan sebarang paksaan sekiranya Syuk mempunyai alasan peribadi untuk tidak kembali ke pentas.

“Saya tidak memaksa. Kalau dia memang tidak mahu, sekurang-kurangnya saya dan pihak pengurusan sudah berusaha sehabis baik. Namun, dengan masa berbaki sebulan ini, insya-Allah kami akan terus mencuba,” ujarnya.

Terdahulu sebelum ini hantaran Tomok dalam media sosial mencari sahabat lamanya, Syuk mengundang perhatian ramai.

Ramai peminat berharap mereka berdua dipertemukan semula dan bersatu di atas pentas bersama anggota New Boyz yang lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok