‘Anak Johor, anak Sabah akhirnya bersatu atas pelamin’

LEBIH 20,000 pengunjung memeriahkan Kenduri Rakyat Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq bersama isteri tercinta juga penyanyi Bella Astilllah, hari ini.
‎
‎Berlangsung di Padang Merdeka sehingga pukul 4 petang, pasangan pengantin yang popular dengan julukan BASS itu tiba sekitar 1.30 tengah hari.
‎
‎Ketibaan mempelai yang mengenakan busana etnik Kadayan berwarna hitam dan merah itu disambut pengunjung dan peminat yang sudah lama menunggu seawal pukul 5 pagi lagi.
‎
‎Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika berucap menyatakan Gunung Kinabalu dan laut Semporna menjadi saksi bermulanya kisah cintanya bersama Bella.
‎
‎”Tempat tertinggi di Gunung Kinabalu sampai ke lautan yang luas di Semporna, ia mengunci kisah cinta kami.
‎
‎”Anak Johor dan anak Sabah akhirnya disatukan di atas pelamin.
‎
‎”Permulaanya bukan setakat di Merdeka 118 tetapi pengakhirannya juga begitu romantis kerana tempat terakhir meraihkan kisah kami adalah bersama anak-anak Sabah pada hari ini.
‎
‎”Saya selepas ini kena lebih kerap dan rajin turun ke Sabah kerana isteri orang Sabah, keluarganya dari Sabah. Ramai dari Sandakan dan Kota Kinabalu.
‎
‎”InsyaAllah, saya tidak sabar selalu berada di sisi isteri dan mengenali kalian dengan lebih erat,” katanya.

‎‎Sejurus selesai memberikan ucapan, pasangan Syed Saddiq dan Bella Astillah meneruskan acara dengan sesi memotong kek serta pulut kuning.
‎
Bella tidak ketinggalan mendendangkan lagu istimewa berjudul Bersama Aku Setia Selamanya buat suami tercinta selain turut menjemput anak sulungnya, ‎Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff untuk menyanyi bersama.
‎
‎Lagu hasil nukilan Hael Husaini dan Aziem Rashidi itu diciptakan khas sempena hari bahagia pasangan dua sejoli berkenaan yang selamat diijabkabul pada 10 Oktober lalu.
‎
‎Dalam pada itu, Syed Saddiq dan Mohamed Ayden Adrean sempat mencuba tarian tradisi Magunatip sebelum turun dari pentas utama untuk beramah mesra dengan pengunjung.
‎
‎Terdahulu, meski kaunter pendaftaran bagi orang awam hanya dibuka pukul 9 pagi, difahamkan ada yang sudah berbaris seawal 5 pagi.
‎
‎Pelbagai gerai makanan turut disediakan secara percuma bagi pengunjung sementara menanti ketibaan pasangan pengantin yang bersanding di pelamin utama.
‎
‎Pasangan popular berkenaan sebelum ini mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumur pada 18 Oktober.
‎
‎Mereka kemudiannya meneruskan sambutan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum membawa perayaan itu ke Sabah pada 31 Oktober. – HIBGLAM

Memuatkan artikel berkaitan…
Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok