PELAKON Aedy Ashraf menafikan dakwaan dia sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres Azira Shafinaz meskipun keakraban mereka menjadi bahan perbualan ramai dalam media sosial baur-baru ini.
Menurut Aedy atau nama penuhnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, hubungan mereka tidak lebih daripada sahabat baik yang rapat dan kemesraan dipamerkan hanyalah tuntutan watak dalam filem Tarung: Unforgiven sebelum ini.
“Kita memang bercinta tetapi dalam filem Tarung sahaja. Realitinya tidak, kami hanyalah kawan baik yang sangat rapat.
“Saya rasa lakonan Azira yang sangat mantap dalam filem tersebut betul-betul memberikan impak kepada penonton sehingga ada yang merasakan kami berdua bercinta.
“Tambahan pula, kami selalu keluar meluangkan masa bersama kawan-kawan lain dan mungkin disebabkan itu juga timbul salah faham,” katanya ketika ditemui pada sidang media Top 5 Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini, semalam.
Mengulas mengenai dakwaan terjebak dalam fenomena cinta lokasi, pelakon itu menegaskan keserasian mereka terjalin atas dasar profesionalisme dan hubungan baik sepanjang bekerjasama.
“Oh, tidak sama sekali (cinta lokasi).
“Tetapi kami bekerjasama dengan cara yang sangat menyeronokkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan, 35, pula turut menepis spekulasi berkenaan selain berpendapat peminat terbawa-bawa hubungan cinta dalam filem ke dunia realiti.
“Saya rasa orang salah tafsirlah. Sudah tentu apabila mereka menonton Tarung, mereka mengharapkan apa yang dilihat dalam filem itu turut berlaku dalam realiti.
“Tetapi sebenarnya tidak, kami hanya memang kawan baik,” ujarnya.
Terdahulu, keakraban Aedy dan Azira menjadi perhatian netizen apabila mereka dilihat sering bersama, termasuk menghadiri beberapa majlis keramaian.
Malah, kemunculan mereka bersama mengundang reaksi positif peminat yang mula merestui hubungan kedua-duanya sekiranya benar-benar menjalin cinta.
Bagaimanapun, penjelasan Aedy dan Azira itu sekali gus memperjelas status hubungan mereka yang hanya terjalin sebagai sahabat baik, bukannya pasangan kekasih seperti yang diperkatakan.
Dalam perkembangan lain, kehebatan lakonan dalam Tarung berjaya membuatkan Aedy dan Azira tersenarai sebagai Top 5 bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM35 yang bakal berlangsung pada 21 November depan di Istana Budaya. – HIBGLAM.

