PENDAKWAH bebas, Haris Ismail mengakui terkilan apabila dilemparkan pelbagai tuduhan termasuk dakwaan menunggang agama dan tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah, sedangkan dia sudah bertahun-tahun menuntut ilmu agama.
Ujar Haris atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail, 31, dirinya tidak pernah menolak kritikan terhadap penyampaian dakwah, namun berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya mempertikaikan latar belakang pendidikan serta kelayakannya tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Saya sebenarnya sedih dengan perkara ini. Apabila kita memberikan tazkirah kepada orang ramai, saya rasa tidak salah jika ada pihak mahu mengkritik. Itu bukan masalah kerana mungkin mereka tidak bersetuju dengan apa yang saya sampaikan.
Namun, apabila perkara itu melibatkan kelayakan pendidikan, saya berharap mereka dapat menghormati usaha serta perjalanan saya dalam menuntut ilmu.
“Saya minta maaf kerana membangkitkan perkara ini, tetapi saya berharap isu berkenaan tidak lagi diperbesarkan. Pada awalnya, saya tidak begitu terasa tapi apabila berterusan menerima pelbagai kata-kata sedemikian, lama-kelamaan perkara itu mula menyakitkan hati,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan dirinya tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan ceramah agama, suami kepada selebriti Neelofa itu menjelaskan dia sudah memiliki tauliah mengajar sejak 2020.
Menurutnya, perjalanan akademiknya turut merangkumi pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Saya sebenarnya sudah mempunyai tauliah mengajar agama sejak 2020. Kedua, berhubung persoalan kelayakan pendidikan, ada juga pihak menulis pelbagai perkara sehingga sedikit sebanyak menyentuh perasaan saya.
“Untuk pengetahuan, saya pernah melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Alhamdulillah, minggu lalu saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana Pengajian Islam di Open University Malaysia (OUM). Jadi, saya berharap selepas ini tidak timbul lagi persoalan mengenai kelayakan pendidikan mahupun tauliah dimiliki,” ujarnya pada sidang media khas kes berkenaan, hari ini. ‘
Terdahulu, acara Nunha Meet & Greet di Johor, dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober lalu, dibatalkan atas faktor keselamatan dan kesihatan susulan keadaan jerebu.
Bagaimanapun, pembatalan itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan peserta apabila timbul dakwaan mereka tidak ditawarkan pemulangan wang secara tunai, sebaliknya diberikan pilihan seperti kredit pembelian di kedai Nunha, tiket wayang TGV atau pertukaran kepada produk.
Susulan kecaman tersebut, Neelofa tampil menjelaskan pihaknya tidak pernah memaksa peserta menerima pilihan berkenaan, selain memaklumkan proses bayaran balik penuh sedang dilakukan kepada peserta memilih kaedah tersebut.
Haris turut menafikan dakwaan tiket wayang dijadikan pengganti bayaran balik, sebaliknya menegaskan sebarang pertukaran kepada kredit atau barangan dibuat berdasarkan persetujuan pembeli. – HIBGLAM

