‘Tiada tip, menantu tahu cara nak pikat hati suami’ 

SEBAGAI seorang ibu, sudah menjadi naluri semula jadi untuk sentiasa mahu berada di sisi anak-anak, malah kalau boleh enggan berpisah walaupun selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Hasrat yang sama pernah disuarakan pelakon popular, Rozita Che Wan atau Che Ta yang sebelum ini memasang impian untuk tinggal sebumbung anak sulungnya, Ammar Effendy.

Bagaimanapun, demi menghormati privasi dan fasa baharu kehidupan anak dan menantunya, Che Ta memilih untuk mengetepikan ego keibuannya. Beliau kini merestui keputusan Ammar untuk tinggal berasingan bersama isterinya, Auni Ikhwan, sekali gus membuktikan dirinya seorang ibu mentua yang sangat memahami.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia akur bahawa keselesaan pasangan muda terutama dari sudut peribadi harus diutamakan.

“Kita ingat nak duduk sekali, rumah saya ada 11 bilik. Lagi pun menantu saya pakai tudung, kasihan pula bila tengok dia.

“Kadang-kadang anak-anak saya pergi main golf, dia bangun awal. Saya cakap tak perlu bangun awal tiada siapa di rumah.

“Dia kena turun bawah pakai tudung, tak selesa dan bebas untuk dia. Jadi saya okey mereka nak tinggal sendiri,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Che Ta, selain faktor aurat dan pemakaian di rumah, dia amat memahami keperluan pengantin baharu yang mendambakan kebebasan serta privasi dalam menguruskan rumah tangga mengikut cita rasa tersendiri.

“Mereka mestilah nak kebebasan, mungkin susun atur keadaan rumah kita bukan cita rasa mereka.

“Jadi, saya terpaksa bagi mereka duduk rumah sendiri. Kalau Aisya (anak bongsu) aku ‘pelekoh’ (pukul), saya cakap ‘hang menikah jangan keluar rumah ini’.

“Anak perempuan senang, mereka memang akan duduk celah ketiak mak. Dia tak ada aurat dengan adik-beradik dan ayah.

“Menantu yang bertudung ini kasihan juga tak selesa untuk dia pakai tudung sepanjang hari,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia ada memberikan sebarang petua rumah tangga kepada menantunya, Che Ta berseloroh bahawa dia lebih selesa memberikan ruang kerana keperibadian sebenar lelaki hanya diketahui isteri mereka di rumah.

“Saya tak ada bagi tip, Auni tahu macam mana nak memikat hati atau mengendalikan suami dia.

“Kita rasa macam anak kita lemah lembut, entah-entah dengan bini dia garang, kita tak tahu.

“Anak-anak ini pijak semut tak mati depan mak dia tapi dengan bini kita tak tahu macam mana perangai ‘raja’ dia,” katanya.

Malah, pelakon drama Kiah Pekasam itu mengakui lebih berhati-hati dalam setiap pertuturan agar tidak mengguris hati menantu yang baru menyertai keluarga mereka.

“Saya pun kadang-kadang sangat menjaga hati. Nak cakap pun fikir supaya kata-kata kita tak mengguris hati dia.

“Dia baru masuk keluarga kita, tak tahu kalau kecil hati. Kita cakap dengan anak kita tak apa,” luahnya.

Hos Karok Dapur

Dalam perkembangan lain, Che Ta bakal mengendalikan program terbaharu terbitan TV3 berjudul Karok Dapur.
Che Ta menzahirkan rasa teruja apabila terus diberi kepercayaan mengemudi program kerjasama dengan syarikat pengeluar rempah ratus terkemuka BABA’S.

“Saya terima tawaran sebab dah lama bekerja dengan BABA’S. Kalau kalian perasan tahun ini yang ketujuh dengan mereka.

“Setiap tahun berbeza program. Tak ada kelainan pun saya nak buat sebab bahagian saya tak banyak sangat.

“Program ini lebih kepada peserta yang masak dan menyanyi itu,” ujarnya.

Karok Dapur yang bakal ditayangkan bermula 27 September depan di TV3 dan Tonton disertai barisan artis seperti Sufian Suhaimi, Ryan Bakery, Ara Johari, Joey Daud, Syamel, Zulin Aziz, Sarah Suhairi dan Nadia Brian.

Setiap peserta bakal berentap secara satu lawan satu mengharungi pelbagai cabaran dalam menyediakan dua sajian sambil menyanyi secara serentak mengikut masa yang ditetapkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok