‘Dah lama kena Ara Johari, kami hanya kawan’

PELAKON Hun Haqeem menafikan dakwaan kononnya dia menjalin hubungan cinta dengan penyanyi Ara Johari, sebaliknya menegaskan mereka sekadar sahabat baik.

Spekulasi itu tercetus selepas Hun muncul dalam video muzik (MV) terbaharu Ara berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna. Keserasian yang ditampilkan menerusi video berkenaan mengundang perhatian netizen sehingga ada yang mendakwa kedua-duanya sedang menjalin hubungan istimewa.

Menurut Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 28, keserasian itu hadir secara semula jadi memandangkan dia dan Ara sudah lama mengenali antara satu sama lain sejak awal pembabitannya dalam industri hiburan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya kenal Ara sudah lama sejak saya mula masuk industri hiburan lagi. Kami pun sering ‘catch up’ jika masing-masing ada projek baharu.

“Jadi, apabila berpeluang bekerjasama dalam MV baharu Ara sekali lagi, kami sangat-sangat selesa. Mungkin disebabkan itu kami kelihatan serasi,” katanya ketika ditemui pada majlis resepsi Bella Astillah dan Syed Saddiq,  baru-baru ini.

Tambah pelakon drama bersiri Cela itu, Ara juga merupakan sahabat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sepanjang mereka menjalin persahabatan.

Terdahulu, hubungan mereka mula menjadi perhatian netizen apabila Ara berkongsi foto memakai cincin pada jari manisnya, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai status hubungan penyanyi itu.

Spekulasi berkenaan semakin hangat apabila Hun sekali lagi dipilih untuk membintangi MV terbaharu Ara, sekali gus membuatkan segelintir netizen menganggap mereka mempunyai hubungan istimewa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok