‘Tekanan watak Hang Tuah ibarat pikul ‘batu jemala’ besar’

AKTOR Aqasha mengakui tanggungjawab menghidupkan watak Hang Tuah dalam sebuah karya epik bukan tugas mudah untuk dipersembahkan terutama apabila penonton meletakkan jangkaan tinggi terhadapnya.

Menurut Aqasha, 42, dia menyifatkan watak tersebut sebagai satu amanah berat namun akan berusaha sebaik mungkin untuk memberi persembahan hebat pada malam pementasan nanti.

“Saya tak nafikan, mempersembahkan sesebuah watak seperti Hang Tuah merupakan satu tugas yang berat untuk seorang pelakon. Saya rasa macam ada batu jemala besar duduk atas bahu ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi saya terima jangkaan ramai itu dengan positiflah cuma saya tahu, sesiapa yang datang tengok karya epik ini, pasti mahu tengok seorang Hang Tuah yang kaya budi bahasa, segak, tangkas dan menjaga pekertii

“Sebenarnya banyak juga benda yang saya kena fikir dan perlu usaha mencari semua itu demi menghidupkan seorang Hang Tuah ini,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Aqasha memberitahu karakter tersebut perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada dirinya selepas berbulan-bulan menjalani latihan.

“Saya cuma boleh cakap mungkin Hang Tuah itu baru 60-70 peratus dalam diri saya.

Seperti saya cakap. Proses mengenali satu karakter itu tak akan habis habis.

“Sebab setiap watak dilihat daripada pelbagai sudut dan akan ada ruang perspektif yang berbeza. Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik,” ujarnya.

Semakin sebati, dia berkata, karakter sopan dan penuh beradab dimiliki Hang Tuah sedikit sebanyak terbawa-bawa dalam kehidupan seharian termasuk cara bertutur dan pergerakannya.

“Kalau seorang Hang Tuah tu kalau nak berjalan, dia tak boleh terus melakukannya sebaliknya perlu dilakukan minta izin dan buat secara beradab. Barulah nampak Melayu.

“Kalau dulu waktu rehat, saya akan jerit ‘kita pergi break’ tetapi sekarang ‘kita pergi makan’. Semuanya memang automatik ada dalam diri sebab kita tak nak mengecewakan orang yang melihat Hang Tuah itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, dia turut mengalami kecederaan kecil sepanjang menjalani latihan namun menganggapnua sebagai pengorbanan yang perlu dilalui oleh seorang pelakon.

Pengorbanan untuk Hang Tuah sangat besar termasuk beberapa kali kaki saya cedera, terkehel dan kulit kaki koyak.

“Tapi saya seronok kerana sebab setiap hari latihan dianggap sebuah perjalanan menghidup dan mengenali Hang Tuah,” jelasnya.

Karya epik ini bakal dipentaskan pada 31 Oktober hingga 15 November depan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) Sunway Square.

Selain Aqasha, PGLM yang juga arahan Puan Sri Fiara Jacquelina itu turut dibarisi Mila Mohsin dan Aisha Retno sebagai Gusti Putri, Mimi Fly dan Nadia Aqilah (Bayan), Luqman Hafidz (Sultan Melaka) serta Yusof Hashim (Gusti Adipato). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok