‘PGL tinggalan Mamat Khalid paling bermakna buat saya’

DUA dekad berlalu, pesona Puteri Gunung Ledang (PGL) masih kekal utuh dalam ingatan peminat, membuktikan karya yang dibina dengan cerita dan watak yang kuat mampu merentas zaman. 

Bagi pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina, perjalanan menghidupkan semula pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 15 November nanti bukan sekadar mengulangi kejayaan terdahulu sebaliknya peluang untuk menyelami emosi setiap watak dengan pemahaman yang lebih mendalam.

Bersandarkan pengalaman dan kematangan yang diperoleh sepanjang tempoh 20 tahun, dia melihat PGL dari sudut berbeza, selain memastikan pementasan terkini itu tampil dengan pembaharuan tanpa memudarkan kekuatan asli naskhah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menyelami setiap watak

Jika dahulu tumpuannya lebih terarah kepada pengalaman membawa watak Gusti Putri, kini Tiara dapat melihat cerita berkenaan daripada perspektif lebih luas, termasuk memahami kesakitan, pengorbanan dan akibat daripada setiap keputusan yang dibuat oleh watak-wataknya.

“Dulu saya berdiri di atas pentas itu sebagai pelakon dan memainkan watak sendiri tetapi apabila jadi pengarah, saya berpeluang menyelami keperitan setiap watak serta babak.

“Dulu sibuk memikirkan bagaimana cara untuk pentaskan teater berskala besar sehingga tiada peluang menelaah dan benar-benar membedah skrip itu.

Namun kali ini, setiap baris dialog kita bedah, mencari maksud untuk semua perkataan, ayat malah pergerakan pun. PGLM 2026 berbeza daripada pementasan dahulu,” katanya kepada HibGlam.

Bagi Tiara, kekuatan PGLM terletak pada hakikat bahawa kisah berkenaan tidak menawarkan kemenangan mutlak kepada mana-mana pihak, meskipun setiap watak mempunyai impian dan perjuangan tersendiri.

Jelasnya, setiap keputusan yang dibuat membawa kesan terhadap perjalanan hidup watak-watak berkenaan, sekali gus menjadikan kisah itu dekat dengan realiti kehidupan yang tidak semestinya berakhir seperti diharapkan.

“Cerita ini tidak ada sesiapa yang menang. Semua orang membuat keputusan yang akhirnya mengubah jalan hidup mereka.

“Hang Tuah tidak menang, Sultan juga tidak menang dan Puteri pun tidak menang. Mereka bahagia, tetapi tiada siapa yang benar-benar mendapat apa yang dihajati. Di situlah letaknya kesedihan cerita ini.

Itulah magis PGL, sebuah cerita yang cantik tetapi menyedihkan kerana semua orang tidak mendapat apa yang mereka mahukan,” ujarnya.

Bercerita mengenai kesan karya itu terhadap perjalanan kerjayanya, Tiara mengakui tidak pernah menyangka watak PGL akan terus melekat dalam ingatan masyarakat sehingga hari ini.

“Saya sendiri tidak menyangka sampai sekarang orang masih mengingati saya sebagai puteri.

“Itulah kesan apabila sebuah skrip ditulis dengan baik dan wataknya dibina dengan sempurna. Karya seperti ini akan kekal selama-lamanya,” katanya.

Tiara turut mengakui sukar untuk menemui naskhah lain yang memberikan impak sama seperti PGL  sehingga mampu meninggalkan kesan mendalam terhadap emosi  penonton.

“Sejak pementasan 20 tahun lalu, sukar untuk menonton karya teater yang ditulis dengan begitu sempurna.

“Cerita asal ini daripada Allahyarham Mamat Khalid dan inilah peninggalannya yang paling bermakna untuk saya. Kita tahu jika sesuatu karya itu bagus, memang akan kekal selamanya,” ujarnya lagi.

Cerewet

Sebagai individu yang mengetuai produksi yang menelan kos jutaan ringgit itu, Tiara mengakui dirinya seorang pengarah yang sangat teliti dan tidak mudah berpuas hati dengan hasil kerja yang dilihatnya.

“Sebenarnya, saya jauh lebih cerewet daripada yang kalian bayangkan. Dalam tidur pun saya boleh terfikir tentang cara penyampaian watak dan sanggup berjaga tengah malam semata-mata mencatat nota untuk diberikan kepada produksi.

Saya tidak pernah berhenti memikirkan cara untuk memperhalusi persembahan. Selagi pementasan hari terakhir belum melabuhkan tirainya, selagi itu kita boleh terus memperbaikinya,” ujar aktres berusia 59 tahun itu.

Selepas berbulan-bulan berlatih, dia memaklumkan barisan pelakon sudah bersedia untuk beraksi dan masa berbaki ketika ini digunakan untuk menambah baik setiap aspek dalam persembahan yang bakal berlangsung di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) nanti.

“Kita masih berbaki tiga minggu sebelum malam pembukaan tetapi jika disuruh beraksi esok pun, kami sudah boleh lakukan pementasan. 

“Tiada istilah kerja saat akhir dalam kamus kami. Langkah tarian, lagu dan dialog semuanya sudah dihafal dengan kemas. 

“Sekarang hanya menunggu pemasangan set pentas, busana, kemasukan pemuzik serta gabungan teknologi di lokasi. Saya berani berjanji bahawa PGLM bakal menjadi sebuah persembahan yang sempurna, insya-Allah,” katanya.

Bagi pementasan kali ini, Tiara menjelaskan beberapa aspek dalam pementasan diberikan nafas baharu bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada penonton yang melibatkan kostum, rekaan pentas dan susunan muzik untuk setiap lagu.

“Kali ini, semua benda berbeza termasuk pelakon, kostum dan set pentas namun skrip dan lagu masih sama.

“Muzik pula disusun semula dan diberikan nafas baharu. Tiada lagu baru yang dicipta pun,” jelasnya.

Dalam memastikan PGLM tampil lebih gah, Tiara turut memberi perhatian terhadap perkembangan teknologi yang kini jauh berbeza dengan produksi awal sekitar dua dekad lalu. 

“Kali ini ada bantuan teknologi yang diyakini mampu menjadikan pementasan PGLM lebih hebat.

“Namun, jangan sesekali membiarkan teknologi memimpin persembahan. Kita tidak mahu penonton terlalu sibuk melihat teknologi sehingga melupakan cerita yang ingin disampaikan.

Jika itu berlaku, bermakna kami sudah gagal kerana akhirnya hanya menjadi sebuah pementasan bunyi dan lampu yang tidak tentu arah,” ujarnya.

Kata Tiara lagi, seramai 50 tenaga pelakon termasuk teraju utama dan tambahan bakal menjayakan pementasan mega tersebut.

“Paling utama bagi saya ialah lakonan dan penceritaan. Barisan pelakon kali ini tiada seorang pun yang tidak berlakon.

Biasanya, orang menganggap pelakon tambahan hanya penyanyi latar atau lalu-lalang sahaja tetapi untuk PGLM, semua ada watak sendiri yang bersama-sama menghidupkan jalan cerita,” katanya mengakhiri temu bual.



Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok