Kaki cedera, Aisha Retno yakin pulih sebelum PGL 

PENYANYI Aisha Retno mencuri perhatian pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 apabila pergerakannya kelihatan terbatas ketika membuat persembahan susulan kecederaan pada kaki kanan yang dialaminya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 26, menjelaskan kecederaan itu tidak serius, sebaliknya keadaan menjadi sedikit lambat pulih akibat jadual kerja yang padat.

Kaki saya sebenarnya tidak parah, cuma cara berjalan nampak seperti serius. Saya terjatuh di rumah dan apabila tiada masa mencukupi untuk pemulihan, keadaan menjadi sedikit teruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, saya okey dan berada dalam jagaan yang baik. Mama, keluarga serta orang sekeliling sangat prihatin menjaga saya,” katanya.

Menurut Aisha, kesakitan pada kaki kanannya mula dirasai ketika menjalani latihan pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL).

Bukan terjatuh ketika latihan PGL, sebaliknya sehari sebelum itu di rumah.

“Ketika latihan dan membuat persembahan di pentas kelmarin pun, kaki saya masih terasa sakit,” katanya.

Bagaimanapun, Aisha menegaskan kecederaan itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk memberikan persembahan terbaik dalam pementasan PGL yang dijadual berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November depan.

Kita masih ada kira-kira dua minggu untuk pulih sepenuhnya sebelum pementasan PGL.

“Insya-Allah, sempat sembuh,” ujarnya.

Terdahulu, Aisha mencuri tumpuan apabila dilihat sukar menaiki tangga pentas selepas dinobatkan sebagai pemenang trofi Selebriti Viral Terhangat pada AMT 2026 yang berlangsung Ahad lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok