‘Bayan ajar saya tenang, berpijak di bumi nyata’

MELANGKAH ke pentas teater muzikal buat julung kali, si tinggi lampai, Mimifly mengakui watak Bayan dalam naskhah epik Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) bukan sekadar pengalaman baharu dalam kerjaya seninya, malah membuka ruang untuk mengenali diri sendiri dengan lebih mendalam.

Mimi, 39, mengakui dirinya perlahan-lahan belajar untuk menjadi lebih tenang, membumi dan tidak terlalu berusaha mengawal setiap perkara dalam kehidupan.

Pengalaman meneroka sedikit ilmu tentang adab tertibnya masyarakat Jawa, di Solo, Indonesia, turut membantu penyanyi Temberang itu mendalami watak berkenaan yang disifatkannya cukup istimewa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berbaki tiga minggu sebelum pementasan yang dijadualkan berlangsung dari 31 Oktober hingga 15 November, Mimi mengakui masih
berdebar meskipun persiapannya hampir mencapai 100 peratus.

“Hampir bersedia sepenuhnya selepas menjalani pelbagai jenis latihan. Kami sudah berusaha dan sekarang tinggal menyempurnakannya sahaja di atas pentas.

“Proses latihan memang sangat intensif tetapi setiap kali melihat hasilnya, rasa puas hati.

Selepas hampir setiap hari berlatih, saya dan Nadia Aqilah yang juga seorang Bayan, semakin jatuh cinta dengan watak kami. Memang seperti masuk ke dunia berbeza,” katanya kepada HibGlam.

Menurut pemilik nama penuh Shamimi Amalina Norhisham itu, Bayan merupakan watak yang mengajarnya untuk lebih menghargai kehidupan serta menerima setiap perkara dengan hati terbuka.

KARAKTER Bayan menemukan Mimyfly sesuatu yang jarang dirasai, menjadikan dirinya lebih tenang dan tidak berkeras mahu mengawal semua perkara dalam kehidupannya.


Tenang

Jelas pelantun lagu Serumpun itu, Bayan juga mengajarnya menjalani kehidupan dengan lebih tenang tanpa terlalu memikirkan perkara yang berada di luar kawalan diri.

“Bayan sangat dekat dengan alam dan bukan jenis suka mengawal. Keistimewaan watak ini adalah mesej yang dibawa iaitu apabila kita dapat mencipta sesuatu bersama alam, rasa takut akan hilang.

Sangat berbeza dengan realiti seorang Mimifly yang menjalani kehidupan hari ini penuh dengan rasa takut dan sentiasa mahu mengawal sesuatu.

“Sebab itu saya jatuh cinta dengan Bayan kerana karakter ini tidak mengenal rasa takut dan mengubah diri saya untuk sentiasa merendah diri serta berpijak di bumi nyata,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Mimi menyifatkan peluang berkongsi watak dengan Nadia sebagai satu kelebihan kerana kedua-duanya dapat meneroka karakter sama melalui tafsiran dan penghayatan tersendiri.

“Seronok bila kita dapat mentafsir karakter dengan orang lain, lebih-lebih lagi Nadia memang hebat di pentas teater.

Bila dua pelakon mentafsir karakter yang sama, semuanya jadi sangat harmoni dan bantu menyelami emosi Bayan dengan baik,” ujarnya lagi.

Menyentuh persediaan fizikal, dia memberitahu faktor kesihatan menjadi antara perkara dirisaukannya, lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan keadaan cuaca kurang baik dan jadual latihan yang padat.

“Kerisauan saya adalah jerebu dan isu kesihatan ditambah dengan komitmen kerja yang padat. Ini pula pementasan teater pertama saya, memang gementar.

“Cuma saya tidak mahu terlalu tertekan, berharap semuanya okey dan sentiasa sihat untuk pementasan nanti,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, Mimi berkata, cabaran terbesar bukan sekadar menyesuaikan diri dengan rutin latihan yang intensif tetapi perlu menguasai sebutan bahasa Jawa kuno yang digunakan dalam pementasan.

Kesukaran bagaimanapun berjaya diminimumkan apabila menerima bantuan seorang guru wanita dari Jawa, Indonesia.

Sebutan bahasa Jawa kuno sangat susah dan cabaran ini memang berbeza sama sekali daripada mana-mana karakter yang pernah saya berlakon sebelum ini.

“Saya dan Nadia berusaha sehabis baik untuk belajar sebutan dan faham setiap perkataan. Kalau boleh tidak mahu mengecewakan guru yang mengajar,” katanya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok