Angkara Gusti Putri, Aisha Retno terpaksa tangguh lancar album

TIADA  khabar mengenai bahagian kedua album studio sulungnya, [Re.Hab], penyanyi Aisha Retno bukan melupakan karya berkenaan sebaliknya pelancarannya terpaksa ditangguhkan susulan komitmen besar dalam pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Ujar Aisha atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, bahagian kedua album berkenaan sebenarnya boleh dilancarkan pada bila-bila masa, namun pihaknya mengambil kira jadual promosi serta komitmen terhadap pementasan teater tersebut.

“Sebenarnya boleh sahaja kalau mahu lancarkan sekarang juga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi disebabkan tahun ini ada kejutan tidak dijangka buat saya, iaitu terpilih untuk pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, kami tidak mahu jadual pemasaran album ini bertembung. Nanti sukar untuk saya fokus.

“Komitmen membawa watak Gusti Putri ini sangat tinggi, jadi kami terpaksa mengundurkan pelancaran ke November dan Disember. Terus nantikan, okey,” tulisnya dalam Threads.

Pelantun lagu Tak Adil itu terlebih dahulu memperkenalkan bahagian pertama [Re.Hab] pada Julai 2025, memuatkan lima lagu termasuk Tak Adil, Jeda, O.R.B.I.T, Lengkapilah Kita (Missing Peace) serta Titik Temu, hasil duet bersama Megat Fazly.

Penangguhan tersebut hadir ketika Aisha sedang memberi tumpuan kepada satu lagi pencapaian besar dalam kerjaya seni apabila diberi kepercayaan menggalas watak legenda Gusti Putri Retno Dumilah menerusi naskhah agung Puteri Gunung Ledang The Musical.

Puteri Gunung Ledang The Musical dijadualkan menemui penonton bermula 31 Oktober hingga 15 November depan, sekali gus menjadikan tempoh tersebut antara fasa paling sibuk buat penyanyi berusia 26 tahun itu.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial mempersoal mengenai perkembangan bahagian kedua album berkenaan yang sehingga kini tiada khabar selepas pelancarannya sebelum ini dijadualkan pada September lalu. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok