DALAM era digital yang menuntut ukuran perhatian pendengar hanya dalam tempoh 15 saat, penghasilan sesebuah album penuh pula sebaliknya, tidak pernah berubah, harus dari saat pertama sehinggalah penamat, semuanya satu perjudian berani.
Ketika industri muzik semakin rancak melahirkan lagu untuk santapan pantas, Ernie Zakri memilih jalan berbeza menerusi album terbaharunya, ATMA sebuah naskhah sarat emosi, berani dan menuntut pendengar menyelami setiap lapisan rasa hingga ke penghujungnya.
Bagi penyanyi bersuara soprano itu, ATMA bukan medan untuk terus mempertontonkan kehebatan vokal atau berlumba mencapai nota tinggi, sebaliknya ruang untuk memperlihatkan sisi seni lebih matang, mentah dan peribadi.
Tujuh trek disusun dengan teliti, bermula menerusi Finding The Music sebelum menutup perjalanan dengan Finito, membentuk sebuah naratif muzik berlingkar dengan setiap lagu memainkan peranan tersendiri.
Tidak lagi terlalu terikat pada kesempurnaan teknikal, pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu seakan-akan membuka pintu kepada sisi dirinya lebih bebas, tanpa perlu menyembunyikan luka, kemarahan atau kekecewaan di sebalik lenggok suara merdu.
Ditanya adakah album itu menjadi ruang buat Ernie meluahkan segala rasa, termasuk pengalaman hidup serta perkara yang selama ini memilih untuk disimpan daripada pengetahuan umum, Ernie tersenyum penuh makna.

Menerusi ATMA, Ernie Zakri enggan terkongkong oleh sebarang penghakiman, sebaliknya memberikan lebih banyak ruang untuk bermain dengan suara sendiri.
Album balas dendam?
Mengakui ada pengalaman peribadi disalurkan menerusi karya, wanita berusia 34 tahun itu berkata, ATMA memberinya peluang meneroka sisi vokal lebih bersahaja, sekali gus memperkenalkan kebolehannya sebagai penulis lagu kepada pendengar.
“Lagu boleh menjadi wadah meluahkan perasaan. Sudah tentu ada beberapa pengalaman dalam kehidupan dilalui dan saya masukkan sebahagiannya ke dalam karya. Menerusi ATMA, saya mahu memberikan lebih banyak ruang untuk bermain dengan suara sendiri.
“Mungkin sebelum ini ramai belum tahu saya juga menulis lagu. Kebanyakan lagu dalam album ini turut saya hasilkan sendiri.
“Saya mahu mencuba sesuatu berbeza, termasuk cara menyampaikan emosi secara lebih mentah, tanpa terlalu terikat dengan teknik vokal.
“Kalau orang hendak kata saya menyanyi secara lebih bersahaja, ikut rasa dan lepaskan sahaja, itulah pendekatan dicuba kali ini.
“Saya mahu menunjukkan sisi lebih matang serta membuktikan Ernie Zakri juga mampu menyampaikan emosi dengan cara berbeza,” katanya kepada HibGlam.
Biarpun judul dan lirik lagu dalam album tersebut berpotensi mengundang pelbagai tafsiran, bekas juara Bintang RTM 2009 tidak berminat menentukan bagaimana pendengar harus memahami setiap karyanya.
Baginya, kebebasan mentafsir menjadi antara keistimewaan ATMA, apatah lagi emosi manusia tidak pernah hadir dalam satu bentuk atau warna sahaja.
“Saya selalu beritahu pendengar bahawa tafsiran masing-masing adalah hak mereka. Kalau ada orang merasakan sesebuah lagu berkaitan pengalaman dikhianati atau dilukai, saya membenarkan mereka melihatnya daripada sudut itu.
“ATMA sangat rapuh dan mentah dari segi emosi. Pendengar boleh membuat andaian tentang siapa atau apa yang saya maksudkan menerusi sesebuah lagu, tetapi saya lebih suka membiarkan perkara itu menjadi ruang imaginasi mereka.
“Kadangkala, ada orang tertanya-tanya mengapa seseorang sanggup melakukan kesalahan terhadap mereka tetapi enggan meminta maaf. Suara hati seperti itulah turut mendapat tempat dalam ATMA. Saya mewakili perasaan orang di luar sana melalui lagu-lagu ini,” ujarnya.
Enggan peduli kecaman
Dalam perjalanan seni, pujian dan kritikan sukar dipisahkan. Setinggi mana pun pencapaian seseorang penyanyi, pasti ada suara tidak berpuas hati, malah kejayaan kecil juga tidak terlepas daripada perhatian mereka yang gemar mencari kekurangan.
Seiring kematangan usia dan pengalaman, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu memilih untuk tidak membiarkan komen negatif merampas ketenangan diri.
“Saya pernah menulis status tentang perkara ini. Walaupun kejayaan saya dan pasukan, kecil sahaja, tetap ada orang tidak berpuas hati. Saya rasa perkara itu normal, tetapi sekarang saya memilih untuk menganggapnya sebagai masalah mereka, bukan masalah saya.
“Sampai satu tahap, saya sendiri tidak tahu apa lagi dianggap betul atau salah dalam dunia nyanyian ini. Bayangkan rakan-rakan saya menyanyi dengan sangat baik pun masih menerima kritikan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana mereka menghadapinya.
“Sekarang saya cuba menenangkan diri dan mengelakkan diri daripada membaca komen sedemikian. Kadangkala, terbaca juga komen pedas hingga terasa hati tapi malas nak layan sangat. Kalau mahu mengkritik, berikanlah teguran membina,” jelasnya.

ERNIE Zakri meletakkan banyak harapan terhadap album baharunya ATMA, termasuk menembusi pencalonan akhir
ke AJL dan AIM untuk edisi akan datang.
Bagaimanapun, Ernie terbuka andai ada individu mahu menegurnya secara peribadi, malah menghargai mereka yang memilih untuk menghantar mesej langsung bagi menyampaikan pandangan secara jujur demi kebaikan dirinya sebagai anak seni.
“Saya suka orang yang berterus terang melalui mesej peribadi kerana saya menghargai kejujuran mereka. Saya tahu ada orang menegur kerana mahu membantu, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau membuktikan mereka paling hebat ketika mengkritik seseorang artis.
“Pada masa sama, saya percaya kita boleh membezakan kritikan membina dengan komen semata-mata mahu menjatuhkan.
“Saya tidak mempunyai masalah menerima teguran, asalkan niatnya baik dan disampaikan dengan cara betul,” ungkapnya.
‘Album ini kuat’
Seperkara lagi, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) itu percaya ATMA mempunyai kekuatan tersendiri untuk diketengahkan dalam industri dan tidak menganggap keyakinan itu sebagai sikap membangga diri, sebaliknya penghargaan terhadap usaha teliti dilakukan bersama pasukan produksi.
“Ketika menghasilkan ATMA, saya tahu album ini mempunyai nilai tersendiri. Saya bukan mahu mengangkat bakul sendiri, tetapi saya tahu betapa telitinya usaha saya bersama pasukan untuk memastikan setiap perkara diberi perhatian.
“Saya bertuah kerana berada bawah Universal Music Malaysia, sebuah syarikat rakaman yang memberikan kebebasan berkarya serta sokongan dari segi belanjawan untuk merealisasikan impian ini. Perkara itu sangat saya syukuri.
“Jika peminat merasakan album ini kuat dan berbeza, saya benar-benar berterima kasih. Saya percaya dengan cerita dibawa ATMA kerana album ini menyuarakan perasaan manusia, dengan segala kerentanan dan emosi mentahnya,” katanya.
Keyakinan itu turut mendorong Ernie meletakkan harapan tinggi agar ATMA mendapat ruang pencalonan ke anugerah muzik pada masa akan datang, sekali gus menebarkan mesej peribadi secara lebih jauh kepada khalayak.
“Insya-Allah, saya harap dapat menghantar ATMA ke beberapa pencalonan anugerah kerana saya benar-benar percaya dengan cerita di sebalik album ini. Saya mahu karya ini mendapat peluang untuk didengari lebih ramai orang.
“Kami sudah mencalonkan Sejambak Bunga untuk Muzik-Muzik dan saya berharap lagu itu berjaya melayakkan diri ke AJL.
“Saya juga berharap album ini mendapat perhatian AIM. Doakanlah yang terbaik,” tutupnya. – HIBGLAM

