Farel Prayoga tidak tahu keluarga jual tanah miliknya

TANAH dibeli hasil titik peluhnya dijual pihak keluarga tanpa pengetahuan, bintang remaja Indonesia, Farel Prayoga, mengakui mengalami kerugian sekitar 400 juta rupiah bersamaan RM90,000.

Meskipun kecewa, Farel, 16, berkata, masalah berkenaan masih dalam proses mencari penyelesaian terbaik selain memilih untuk bersikap matang meskipun berdepan kemelut membabitkan ahli keluarga sendiri.

“Baru-baru ini, saya berdepan sedikit masalah dengan keluarga. Ada tanah dibeli menggunakan hasil usaha saya dijual oleh pihak keluarga tanpa pengetahuan saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekarang, saya cuba bersikap realistik dan melihat bagaimana perkara ini boleh diselesaikan pada masa akan datang, termasuk memikirkan apa bakal berlaku selepas ini.

“Pastinya, saya tetap berusaha bersikap matang sebagai anak muda yang mahu mempertahankan hasil titik peluh sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu HambaMu itu, pengalaman bekerja keras sejak kecil menjadikannya lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan, meskipun masalah kali ini berbeza kerana membabitkan keluarga sendiri.

“Sejak kecil, saya sudah biasa bekerja keras dan melakukan pelbagai pekerjaan. Cuma, masalah dihadapi sekarang berbeza daripada sebelum ini.

“Dulu, ketika kecil, saya mencari rezeki dengan membuat persembahan jalanan. Sekarang, saya masih berdepan masalah, tetapi dalam konteks berbeza.

“Sebab itu, saya berdoa kepada Allah dan meminta nasihat daripada pengurus serta keluarga pengurus. Buat masa ini, saya meneruskan kehidupan seperti biasa sambil melihat apa bakal berlaku selepas ini,” ujarnya pada sesi temu bual bersama media sempena pelancaran lagu terbaharunya, Gadis Melayu, di sini, hari ini.

Paling penting kata Farel, dia dan pihak pengurusan sudah berusaha menyelesaikan kemelut berkenaan secara kekeluargaan sebelum ini, namun usaha tersebut belum membuahkan hasil seperti diharapkan.

Mengulas kemungkinan mengambil tindakan undang-undang, dia berkata, pihaknya masih meneliti langkah seterusnya dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana individu terbabit tetap ahli keluarganya.

“Pastinya, sebelum perkara ini berlaku, kami sudah cuba menyelesaikan masalah secara kekeluargaan. Bagaimanapun, akhirnya keadaan tetap menjadi seperti sekarang. Hukum itu ada, tetapi kami masih melihat perkembangan seterusnya.

“Bertengkar dengan keluarga bukan sesuatu yang menyenangkan. Jadi, kami cuba mencari jalan penyelesaian terbaik supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya cuba bersikap realistik, tetapi tidak dinafikan masalah ini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan. Saya berharap kemelut ini segera berakhir dan dapat diselesaikan secara baik supaya saya boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan lebih tenang,” jelasnya.

Untuk rekod, tanah yang dibeli hasil jerih perihnya menjadi anak seni itu turut menempatkan sebuah bangunan serta kolam renang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok