DARIPADA pentas muzik dengan sorakan peminat membingitkan dewan hinggalah ke layar televisyen dengan permainan emosi meruntun jiwa, perjalanan seni Lee Jun-ho membuktikan bakat hebat tidak pernah terkurung dalam satu gelanggang.
Berbekalkan disiplin, kesungguhan dan kecintaan mendalam terhadap dunia seni, bintang K-Pop itu berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi serta pelakon disegani, sekali gus memadam tanggapan kemampuan idola hanya terbatas pada dunia muzik.
Kehadiran jejaka berusia 36 tahun itu ke Malaysia baru-baru ini sempena acara Cuckootopia 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, turut mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.
Di sebalik karisma seorang bintang antarabangsa, Jun-ho turut memperlihatkan sisi santai dan mesra, termasuk kecenderungannya terhadap hidangan tempatan seperti nasi lemak dan roti tisu.
Berpeluang menyertai sesi temu bual eksklusif bersamanya, penulis mengambil kesempatan menyelami perjalanan seni, perkembangan kerjaya lakonan serta impian peribadi pelakon drama Typhoon Company itu.
Menurut Jun-ho, impian menjadi pelakon tidak pernah terpadam walaupun perjalanan awalnya lebih tertumpu pada dunia muzik.
Peluang berlakon akhirnya hadir seiring perkembangan kerjayanya, sekali gus membolehkannya merealisasikan dua impian dalam satu masa.
“Sebenarnya, sejak kecil lagi saya sudah menyimpan impian untuk menjadi pelakon. Namun, saya juga sangat meminati nyanyian dan tarian. Apabila berpeluang, saya memulakan perjalanan sebagai anggota 2PM.
Sepanjang bergiat aktif sebagai penyanyi, peluang untuk menceburi bidang lakonan turut hadir. Saya mengambil peluang itu, bekerja keras dan terus berusaha sehingga berada pada tahap sekarang.’Saya
“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang mengejar kedua-dua impian tersebut. Saya berharap dapat terus memberikan yang terbaik sebagai penyanyi dan pelakon,” katanya kepada HibGlam.

SIKAP mesra dan bersahaja Lee Jun-ho sepanjang berada di Kuala Lumpur membuatkan peminat setianya semakin sayang serta mengagumi keperibadiannya.
Selepas menamatkan penggambaran drama Viking (Buy King) kurang seminggu sebelum sesi temu bual berlangsung, Jun-ho mengakui dirinya masih dalam proses melepaskan bayangan watak berat naskhah berkenaan.
“Saya baru sahaja menamatkan penggambaran drama Viking (Buy King), jadi sekarang saya sedang perlahan-lahan keluar daripada watak pakar analisis risiko korporat yang sangat dingin, rasional, bijak dan kalkulatif.
Bagi saya, drama ini sangat menarik kerana membawa karakter berbeza daripada yang pernah saya jayakan sebelum ini. Ia juga menawarkan pengalaman baharu, termasuk dari segi genre, jadi saya sangat teruja untuk melihat hasil akhirnya,” jelasnya.
Ditanya mengenai usahanya meninggalkan karakter dingin dan serius dalam drama berkenaan, anak jati Ilsan, Gyeonggi-do itu mengakui pertemuan dengan peminat membantu dirinya kembali kepada personaliti sebenar, apatah lagi suasana mesra serta sambutan hangat diterima membuatkannya berasa selesa.
Namun, paling penting kata pelantun lagu Nothing But You itu, setiap fasa kehidupan hadir bersama pengalaman berbeza dan mahu terus meneroka karakter baharu selagi kecintaan terhadap bidang seni masih menyala dalam dirinya.
“Sebenarnya, banyak lagi perkara ingin saya cuba, sama ada sebagai penyanyi mahupun pelakon.
Tugas saya menyampaikan emosi dan apa yang saya lalui dalam hidup melalui karya.
“Selagi saya masih mencintai pekerjaan ini, saya percaya akan sentiasa ada keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu dan mencabar diri sendiri,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai matlamat peribadi untuk tahun mendatang, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Film Arts (Cinematography) itu menegaskan kepentingan menjalani kehidupan sihat, mengenali keperluan diri dan membuat pilihan lebih baik dalam rutin harian.
“Saya mahu menjalani kehidupan dengan sihat. Saya fikir kita perlu sentiasa memerhatikan keadaan diri, memahami apa yang kita perlukan dan memikirkan perkara terbaik untuk kesejahteraan diri.
Perkara asas seperti menyediakan makanan berkhasiat, minum air secukupnya dan bersenam mungkin nampak mudah, tetapi semuanya penting. Saya mahu terus mendalami watak untuk projek lakonan seterusnya, termasuk membentuk rutin kehidupan bersesuaian dengan karakter tersebut.
“Pada masa sama, saya berharap dapat terus menjalani kehidupan dengan sihat dan bahagia bersama keluarga, selain berkongsi kebahagiaan itu dengan peminat yang sentiasa menyokong saya,” tutupnya. – HIBGLAM

