KESETIAAN peminat di Malaysia membuatkan penyanyi popular dari Indonesia, Rizky Febian tidak sabar untuk kembali beraksi di negara bertuah ini.
Menurut Rizky atau nama lengkapnya Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 28, biarpun jarang membuat persembahan di Malaysia, namun peminat-peminatnya di sini tetap setia dan sentiasa menanti kehadirannya.
“Walaupun mungkin setahun sekali atau selang beberapa tahun saya buat persembahan di sini, mereka tetap setia.
“Mereka sering ‘DM’ saya dalam media sosial dan bertanya terus dengan pihak pengurusan bila saya akan ke Malaysia lagi.
“Kadang-kadang jika saya ke Kuala Lumpur untuk bercuti, jika ada kesempatan saya akan curi waktu untuk bertemu mereka di sini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama Rizky Febian semalam.
Tambah pelantun lagu Alamak itu, ketegangan yang berlaku dalam kalangan netizen Malaysia dan Indonesia baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan tembok penghalang buat karyawan dua negara.
“Kita saling menyokong antara satu sama lain dalam bidang muzik. Harapan saya agar kerjasama dalam bidang muzik boleh memberikan impak positif serta menyatukan dua negara.
“Saya hadir ke Malaysia dengan hati yang tulus. Saya juga sangat bangga dengan artis dari Malaysia kerana mereka mempunyai karya dan suara yang sangat bagus.
“Saya juga sempat berkongsi dengan orang-orang di Indonesia tentang penyanyi Malaysia yang sangat bagus yang perlu diberikan perhatian,” jelasnya.
Rizky juga dilihat sempat menghiburkan peminatnya dengan membuat persembahan ‘busking’ di lokasi tumpuan ramai, Bukit Bintang malam tadi.
Suami kepada penyanyi Mahalini itu bakal beraksi dalam konsert Malam Rawan Diorama Rizky Febian yang akan berlangsung pada 29 November depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur selepas kali terakhir beraksi di sini pada 2023. – HIBGLAM

